Jumaat, 1 Februari 2019 | 2:46pm

UDA Holding Bhd serah zakat RM1.5 juta

BUTTERWORTH: UDA Holdings Bhd (UDA) mengagihkan zakat sebanyak RM1.5 juta bagi membantu institusi keagamaan, pendidikan dan individu memerlukan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pembangunan Hartanahnya, Noor Azmi Salleh, berkata selain menunaikan tanggungjawab organisasi untuk membayar zakat, ia muncul sebagai inisiatif bagi membolehkan pihak syarikat mendekati masyarakat, sekali gus menjadikan agensi itu dikenali.

“Bayaran zakat perniagaan dibayar UDA kepada Pusat Urus Zakat (PUZ) adalah RM4 juta dan daripada jumlah itu, RM1.5 juta dipulangkan semula kepada kami untuk diagihkan sendiri dengan menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Justeru, kita memilih beberapa institusi keagamaan dan pendidikan serta individu memerlukan untuk menerima manfaat ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemberian Bantuan Zakat UDA Land kepada surau dan masjid di Seberang Jaya di sini, hari ini.

Sebanyak RM70,000 diperuntukkan kepada masjid dan surau dalam kawasan Seberang Jaya untuk dimanfaatkan kariah di situ dengan majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pembangunan Perniagaan dan Projek Khas UDA, Datuk Nordin Murat dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land (North) Sdn Bhd, Zainudin Deni.

Noor Azmi berkata, pengagihan zakat itu ditumpukan di kawasan pembangunan yang dapat memberi kesan lebih positif terhadap masyarakat.

“Kita sudah membuat agihan zakat di Johor Bahru dan Cheras, Kuala Lumpur. Kini, tumpuan kita di kawasan Utara sebelum bergerak ke Pantai Timur, membabitkan Kuala Terengganu dan Kemaman, Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Dr Afif berkata, pihaknya berbesar hati dengan komitmen ditunjukkan UDA kerana sentiasa mengambil berat keperluan komuniti, selain menunaikan tanggungjawab kepada agama.

“Dari segi pelaksanaan CSR pun apa kurangnya apabila organisasi ini setaraf dengan gergasi korporat lain yang tidak pernah jemu memberi bantuan dan pertolongan kepada pihak memerlukan,” katanya.

KETUA Pegawai Operasi Kumpulan Pembangunan Hartanahnya, Noor Azmi Salleh (lima dari kanan) bergambar bersama orang ramai pada Majlis Pemberian Bantuan Zakat UDA Land kepada surau dan masjid di Seberang Jaya, hari ini. - Foto Ramdzan Masian
KETUA Pegawai Operasi Kumpulan Pembangunan Hartanahnya, Noor Azmi Salleh (lima dari kanan) bergambar bersama orang ramai pada Majlis Pemberian Bantuan Zakat UDA Land kepada surau dan masjid di Seberang Jaya, hari ini. - Foto Ramdzan Masian
Berita Harian X