Jumaat, 1 Februari 2019 | 4:15pm
MENTERI Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil.
MENTERI Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil.

Marudi bakal dinaik taraf bahagian baharu

MIRI: Kerajaan Sarawak merancang menaik taraf Marudi sebagai sebuah lagi bahagian baharu di Sarawak seiring dengan pembangunan dikecapi kawasan itu.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil, berkata perancangan itu juga bagi memastikan kesinambungan pembangunan kawasan itu, sekali gus meningkatkan sosioekonomi setempat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi berkata, banyak pembangunan yang dirancang sebelum ini di Marudi akan diteruskan untuk manfaat penduduknya.

“Antara projek utama yang akan diteruskan ialah Jambatan Batang Baram. Ketika ini penduduk masih bergantung kepada perkhidmatan feri untuk berulang-alik dari Marudi ke Miri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Penguang berkata, lima lagi jambatan yang lain akan turut dibina dan dinaik taraf di sepanjang laluan Jalan Marudi-Miri untuk keselesaan pengguna.

Beliau berkata, projek dirancang di daerah Marudi itu dilakukan untuk memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan daripada arus pembangunan di Sarawak.

Katanya, Marudi dan kawasan sekitarnya mempunyai banyak tarikan dan berpotensi untuk menjadi destinasi pelancongan popular.

“Terdapat dua taman negara yang dekat dengan Marudi iaitu Taman Negara Mulu dan Taman Negara Loagan Bunut. Banyak lagi tempat menarik berpotensi dimajukan sebagai destinasi pelancongan di Marudi dan Baram,” katanya.

Berita Harian X