Sabtu, 2 Februari 2019 | 11:51am
Ketua Pengurus dan Perancangan Operasi E-Idaman, Ahmad Zikry Badrin(tengah) menyerahkan angpau kepada Lee Ah Hai, 59, sempena Program Sentuhan Kasih E-Idaman dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di Pekan Tunjang. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Ibu tunggal ceria terima sumbangan E-Idaman, KMEK

JITRA: Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini lebih bermakna buat ibu tunggal kepada dua anak orang kurang upaya (OKU) berikutan rumahnya yang serba daif sebelum ini sudah dinaik taraf.

Impiannya menjadi kenyataan hasil tanggungjawab sosial korporat syarikat konsesi pembersihan Environment Idaman (E-idaman) dan Kelab Media Elite Kedah (KMEK).

Lee Ah Hai, 59, berkata sejak kematian suaminya pada 2002 akibat kemalangan langgar lari, dia menyara anak-anaknya dengan menjual kotak terpakai.

Katanya, hasil jualan kotak kira-kira RM80 seminggu, dia hanya mampu membeli barang keperluan dan barang dapur untuk mereka anak beranak.

“Kami hidup cukup makan sahaja. Saya tak mampu menghias rumah atau membeli perabot. Kami hanya tidur di lantai beralaskan tilam nipis.

“Rumah saya dipenuhi kotak terpakai, mujurlah dengan bantuan E-Idaman dan KMEK, rumah saya dibersihkan dan dicat baharu agar kelihatan lebih ceria untuk menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Belakang Sekolah Cina, Pekan Tunjang di sini, semalam.

Menerusi Program Sentuhan Kasih itu, kakitangan E-Idaman dan ahli KMEK bergotong-royong membersihkan pekarangan rumah keluarga berkenaan yang dipenuhi semak-samun sejak Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Pengurus dan Perancangan Operasi E-Idaman, Ahmad Zikry Badrin, berkata hasil kerjasama itu, keluarga Ah Hai turut dibelikan katil dan tilam baharu supaya mereka dapat tidur dengan selesa.

“Malah, sebuah syarikat kontraktor turut menaja pendawaian elektrik baharu di dalam rumah berkenaan yang dilihat sangat lama dan berisiko berlaku litar pintas.

“E-Idaman turut menyampaikan sumbangan angpau kepada keluarga ini dan diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka untuk membeli kelengkapan menyambut Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong bagi merasmikan program itu.

Berita Harian X