Isnin, 4 Februari 2019 | 4:26pm
SITI Endon Ismail dengan maskot Hello Kitty menghiburkan pengunjung di pusat peranginan Teluk Cempedak sebagai punca pendapatan utamanya. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
SITI Endon Ismail dengan maskot Hello Kitty menghiburkan pengunjung di pusat peranginan Teluk Cempedak sebagai punca pendapatan utamanya. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

Sumbangan rezeki buat 50 kucing

KUANTAN: “Selepas kisah saya keluar surat khabar, ramai datang menghulurkan sumbangan dan bantuan, menyebabkan saya terharu.

“Ini bukan rezeki saya seorang, tetapi untuk kucing di rumah, sekurang-kurangnya dapat juga membeli makanan dan ubat-ubatan mereka,” kata Siti Endon Ismail, 56.

Kisahnya yang mencari rezeki dengan memakai maskot Hello Kitty di Teluk Cempedak, di sini, meraih perhatian dan simpati ramai selepas disiarkan akhbar Sabtu lalu.

Beliau berkata, selepas itu, ramai datang berjumpa dengannya di pantai peranginan berkenaan untuk bergambar sehingga membuatkannya tidak menang tangan, malah ada yang menghulur sumbangan.

“Mereka (pengunjung) memaklumkan tahu kisah saya menerusi surat khabar, ada yang sanggup datang luar daerah ini untuk bertemu.

“Saya bukan mahu menagih simpati sesiapa, sebaliknya selesa membuat kerja (memakai maskot) kerana ini saja yang mampu dilakukan untuk menampung kehidupan,” katanya.

Ibu tunggal ini berkata, dia memperuntukkan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk membeli makanan 50 kucing miliknya dan ia tidak termasuk kos ubat-ubatan serta rawatan haiwan itu .

Katanya, dia mahu kucingnya mendapat makanan terbaik, namun harganya agak mahal membuatkannya terpaksa mengikat perut.

“Jika ada duit lebih, saya memberi kucing makan ayam rebus, namun jika sebaliknya, saya akan beli rangka ayam yang berharga RM4 sekilogram untuk diberikan kepada kucing.

“Saya anggap kucing ini seperti anak sendiri kerana mereka menjadi peneman selama ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X