Khamis, 7 Februari 2019 | 4:39pm
ORANG ramai berasak untuk mendapatkan borang Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang. - Foto Farizul Hafiz Awang
ORANG ramai berasak untuk mendapatkan borang Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang. - Foto Farizul Hafiz Awang

Orang ramai berasak untuk dapatkan borang BSH 2019

KUANTAN: Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, di sini, hari ini, menjadi tumpuan lebih 200 orang untuk mengemas kini maklumat Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019.

Kebanyakan mereka sudah berada di LHDNM seawal jam 7.30 pagi untuk mendapatkan borang bantuan itu bagi mengemas kini maklumat isi rumah.

Peniaga sayur, Hamzah Mohammad, 48, berkata dia tidak menyangka orang ramai datang awal ke pejabat LHDNM untuk mendapatkan borang.

Katanya, dia hadir di UTC hanya untuk mengemas kini maklumat iaitu menukar nombor akaun bank baharu.

“Saya harap dengan maklumat baharu ini, saya dapat menerima BSH seperti tahun sebelumnya,” katanya yang tinggal di Peramu, di sini.

Bagi Hassan Jamaluddin, 52, yang bekerja sendiri, dia yang juga penerima BSH sebelum ini berharap bantuan itu akan diteruskan.

“Bantuan ini membantu meringankan beban kewangan kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan bulan lalu memaklumkan pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah sebulan layak menerima BSH.

“Untuk menerima bayaran BSH 2019, pemohon yang layak perlu mendaftar dan mengemas kini maklumat isi rumah. Tempoh pendaftaran BSH 2019 dibuka mulai 1 Februari lalu hingga 15 Mac ini.

“Pemohon yang layak digalakkan membuat permohonan melalui beberapa kaedah termasuk mendapatkan borang secara percuma di pejabat LHDNM atau memuat turun borang permohonan di portal rasmi BSH https://bsh.hasil.gov.my,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X