Ahad, 10 Februari 2019 | 4:42pm
Rosli menunjukkan perigi Hang Tuah di Kampung Duyong. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Sukarelawan perigi Hang Tuah

MELAKA: Tanpa meminta sebarang balasan, seorang petugas sukarela sanggup datang setiap hari membersihkan kawasan perigi Hang Tuah, Kampung Duyong, di sini, semata-mata mahu memulihara keindahan kawasan pelancongan terkenal itu.

Rosli Mohamad, 50, berkata tujuan utama dia berbuat demikian adalah kerana rasa tanggungjawab selain memastikan kawasan perigi sentiasa bersih ia lokasi tumpuan pelancong di dalam dan luar negara.

Katanya, dia akan memulakan rutin pembersihan setiap hari seawal jam 8 pagi sehingga jam 4.30 petang atas dasar keprihatinan terhadap kebersihan.

“Selain tugas menyapu, saya juga membersihkan lantai dan longkang di sekitar perigi bersejarah ini. Malah, rutin ini sudah saya mulakan sejak lebih lapan tahun lalu.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa balasan tetapi kebiasaannya ada individu yang menghulurkan RM1, RM2, RM10 dan lebih kerana prihatin untuk saya terus menjaga kebersihan kawasan bersejarah ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan perigi Hang Tuah, Kampung Duyong, di sini, hari ini.

Rosli berkata, saban hari dia akan berbasikal ke kawasan perigi yang terletak tidak jauh daripada rumahnya.

Sebelum pulang pula, dia akan mengumpulkan bungkusan plastik terpakai dan sampah sarap bagi memastikan kawasan di sekitar perigi sentiasa bersih.

“Saya juga membantu pelawat mengambil air menggunakan baldi, menuang air ke dalam botol atau membawa air ke kereta atau bas persiaran,” katanya.

Menurutnya, orang ramai bebas untuk mengambil air di perigi berkenaan berikutan airnya yang jernih dan bersih boleh digunakan untuk minum, perubatan atau membersihkan anggota badan.

Perigi terbabit dipercayai digali oleh pahlawan terbilang, Hang Tuah dan menjadi antara tarikan utama di Perkampungan Hang Tuah di Kampung Duyong, di sini.

Hang Tuah dikatakan membesar di Kampung Sungai Duyong bersama empat sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Pada asalnya perigi ini agak kecil, tetapi lama kelamaan menjadi besar dan dalam.

Berdasarkan fakta tidak rasmi, kedalaman perigi Hang Tuah dikatakan 1.8 meter. Perigi itu dikatakan tidak pernah kering walaupun Melaka pernah dilanda musim kemarau yang panjang.

Perigi terbabit diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X