Ahad, 10 Februari 2019 | 5:16pm
Osman menunjukkan Plan Pembangunan Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Segamat Tahun 2030 selepas merasmikan Program Publisiti Dan Penyertaan Awam di Dewan Kampung Abdullah Segamat. - NSTP/Ahmad Ismail

Johor umum kenaikan elaun ketua kampung RM200

SEGAMAT: Kerajaan Johor mengumumkan khabar gembira kepada 667 ketua kampung apabila bersetuju menaikkan kadar elaun sebanyak RM200 sebulan yang dijangka berkuat kuasa dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata kenaikan kadar elaun itu akan membabitkan peruntukan berjumlah RM1.608 juta setiap tahun.

Katanya, pertambahan itu menjadikan kadar elaun diterima ketua kampung sebanyak RM900 sebulan berbanding RM700 sebelum ini.

“Saya tidak dapat nak bagi kenaikan besar tetapi tetap juga mahu berkongsi ole-ole. Jadi kita akan naikkan elaun sebanyak RM200. Sekarang ketua kampung dapat RM500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM200 dari kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Ketua Kampung Daerah Segamat, Muar, Tangkak, Kluang dan Batu Pahat di Dewan Muafakat Taman Yayasan di sini, hari ini.

Osman berkata, selain peningkatan elaun, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan insentif RM1,000 kepada ketua kampung bagi kemudahan membeli komputer riba.

“Saya akan beri bantuan RM1,000 secara one-off bagi pembelian komputer riba. Ini kerana saya berpendapat komputer riba amat perlu untuk anda semua, jadi manfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Berita Harian X