Isnin, 11 Februari 2019 | 1:04pm
Keratan akhbar tragedi Pulau Kidjang. Anak panah menunjukkan buritan MV Pulau Kidjang selepas tenggelam. - Foto Khalid Latip
Keratan akhbar tragedi Pulau Kidjang. Anak panah menunjukkan buritan MV Pulau Kidjang selepas tenggelam. - Foto Khalid Latip
Peta lokasi karamnya MV Pulau Kidjang. - Foto Khalid Latip
Peta lokasi karamnya MV Pulau Kidjang. - Foto Khalid Latip

Tragedi MV Pulau Kidjang akan difilemkan

SARIKEI: Tragedi tenggelamnya kapal MV Pulau Kidjang yang pernah menggemparkan negara 46 tahun lalu, bakal difilemkan tidak lama lagi.

Filem dokumentari malapetaka maritim terburuk yang mengorbankan kira-kira 120 penumpang itu akan dihasilkan oleh anak Sarikei sendiri dan penggambarannya dijangka bermula April depan.

Pengurus Allen Tinggie Sdn Bhd, Joseph Allen, berkata syarikat berkenaan kini sedang giat mengumpul maklumat berhubung tragedi itu.

Susulan itu katanya, mereka berjaya menemubual beberapa mangsa yang masih hidup dan sudi berkongsi pengalaman sebenar ketika kejadian tersebut berlaku.

“Kami bukan mahu membongkar semula detik hitam ini tetapi sekadar mahu generasi muda mengetahui bahawa tragedi MV Pulau Kidjang juga menjadi sebahagian sejarah penting Sarawak yang perlu diingati.

“Saya percaya ramai generasi muda sekarang tidak tahu mengenai tragedi MV Pulau Kidjang dan kisah-kisah menarik serta menyayat hati di sebalik kejadian itu,” katanya kepada NSTP.

Allen Tinggie Sdn Bhd yang berpangkalan di Sarikei pernah mencatat kejayaan dengan menerbitkan filem aksi ‘Iban Taiko’ pada tahun 2015.

Kini syarikat penerbitan filem tempatan yang dimiliki sepenuhnya Bumiputera itu mengorak langkah baharu dengan menerbitkan filem sejarah.

“Saya mengalu-alukan orang ramai yang ingin berkongsi pengalaman berhubung tragedi itu supaya menghubungi talian 084-658495 atau Hereward Gramong (019-8171240), Priscilla Allen (019-8346020) atau saya sendiri (017-8204707),” katanya.

Sebelum ini, beberapa peristiwa bersejarah pernah dipaparkan dalam filem dan drama bersiri antaranya, Anak Sarawak, Kanang Anak Langkau dan Rosli Dhobi.

Berita Harian X