Isnin, 11 Februari 2019 | 2:14pm

NGO, Ahli Parlimen DAP minta SPRM siasat isu penerokaan hutan

IPOH: Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Persatuan Pelindung Khazanah Alam Sekitar (PEKA) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan isu pemberian 400 hektar tanah hutan simpan kepada sebuah syarikat oleh kerajaan negeri.

Thomas berkata, ia berikutan isu berkenaan kini tular di media sosial membabitkan penggondolan kawasan hutan yang dikatakan untuk tujuan pembangunan ladang hutan di dua kawasan iaitu di Kledang Saiong dan Bukit Kinta.

“Laporan ini dibuat kerana kami mendapati ada beberapa elemen yang perlu disiasat dengan lebih teliti kerana kami mendapati ia membabitkan soal kelulusan tanah, tambahan pula ia diberikan kepada syarikat yang baharu sahaja ditubuhkan pada 26 Julai tahun lalu iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selesai.

“Syarikat berkenaan telah diberikan sebanyak 400 hektar tanah yang dikatakan untuk tujuan pembangunan ladang hutan tetapi ia terletak di kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di perkarangan pejabat SPRM Perak, di sini hari ini.

Thomas berkata, apa yang dipersoalkan adalah bagaimana sebuah syarikat yang baharu saja ditubuhkan tanpa apa-apa profil boleh dianugerahkan kawasan tanah yang sangat besar sedangkan petani yang sudah mengusahakan tanah selama puluhan tahun pun tidak diberikan lesen menduduki sementara untuk pertanian.

Katanya, perkara itu juga dilihat bertentangan dengan ikrar yang pernah disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas mengambil alih kerajaan negeri daripada kerajaan terdahulu dan menyatakan bahawa aktiviti pembalakan akan dihenti dan dikurangkan, tetapi perkara sebaliknya pula berlaku.

“Tapi isu yang lagi penting adalah Menteri Besar sendiri mengatakan beliau tidak tahu bilakah tanah ini dikeluarkan dari status sebagai hutan simpan.. Jadi dia (Ahmad Faizal) perlu jawablah isu itu. Hutan simpan perlulah dikekalkan, tetapi apa yang berlaku ini menimbulkan keraguan,” katanya.

Beliau berkata, Ahmad Faizal dalam beberapa kenyataannya sebelum ini berkata akan menyiasat perkara itu dan diharapkan siasatan segera perlu dijalankan bagi memastikan hutan simpan negeri tidak terus digondolkan.

Katanya, Menteri Besar juga perlu mengambil tindakan segera menghentikan segala aktiviti yang sedang berlangsung dan membatalkan lesen yang diberikan serta merta bagi memastikan kelestarian hutan simpan dapat dikekalkan.

“Saya desak Menteri Besar supaya jangan memperbaharui lesen syarikat berkenaan dan jika ada tanah yang ingin diberikan oleh kerajaan negeri untuk hak milik dan tujuan tertentu maka ia perlu dibuat melalui tender terbuka supaya ketelusan dan integriti kerajaan negeri terus terpelihara,” katanya.

Ahmad Faizal dalam kenyataannya sebelum ini berkata, beliau mahu menyemak surat kelulusan permit projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di dua lokasi berkenaan kepada sebuah syarikat yang tular sejak beberapa hari lalu sambil mendakwa tidak mengetahui status sebenar permit berkenaan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X