Selasa, 12 Februari 2019 | 8:35pm
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga dari kiri) menerima replika cek pembayaran cukai tanah daripada wakil syarikat OSK Property Holding Bhd, Rothman Abdullah (dua dari kanan) pada Program Amanat Pentadbiran Tanah Negeri Kedah dan Pelancaran Kaedah Tanah di Dewan Seri Mentaloon, Anak Bukit. - Foto Amran Hamid

Kedah tubuh pasukan bertindak jaga Tanah Simpanan Melayu

ALOR SETAR: Satu pasukan bertindak diwujudkan di bawah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah khusus bagi menjaga kepentingan hak status Tanah Simpanan Melayu negeri, sekali gus mengelakkan daripada berlakunya kehilangan tanah berstatus itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pasukan bertindak itu juga akan memastikan Tanah Simpanan Melayu boleh dibangunkan dengan memberikan pajakan lebih panjang kepada pelabur tanpa menyusutkan keluasan tanah hak milik orang Melayu itu.

“Kita lihat bahawa Tanah Simpanan Melayu (kadang kala) tidak menguntungkan orang Melayu… nilainya tidak boleh meningkat kerana mungkin yang sanggup membeli tanah dengan syarat itu bukanlah daripada kalangan orang yang mempunyai kemampuan tinggi.

“Kita kena tengok balik apa syarat pajakan, kalau boleh nak dipanjangkan lagi supaya dibenarkan pembangunan oleh pelabur di atas Tanah Simpanan Melayu (tetapi) masih kekal dalam tangan pihak Melayu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu dapat memastikan kedua-dua pihak, orang Melayu dan pelabur menikmati keuntungan hasil daripada pembangunan tanah simpanan berkenaan.

Mukhriz berkata setakat ini masih terdapat lebih 70 peratus Tanah Simpanan Melayu di Kedah.

Terdahulu, Mukhriz menyampaikan amanatnya pada Program Amanat Pentadbiran Tanah Negeri Kedah 2019 dan melancarkan Kaedah-Kaedah Tanah Kedah (KTK) 2018 di Dewan Seri Mentaloon, di sini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Pengarah Tanah dan Galian Kedah Datuk Md Zuki Siru.

Dalam amanatnya, Mukhriz menyarankan supaya semua pentadbir tanah di Kedah mengadakan sesi sumbangsaran dalam mencari kaedah untuk meningkatkan hasil negeri.

Katanya, antara yang boleh dilaksanakan termasuk memperkemaskan mekanisme dan strategi kutipan cukai tanah melalui sumber sedia ada, kutipan ke atas tunggakan cukai tanah dan premium serta mengenal pasti hasil baharu yang boleh menjana kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Contohnya, kutipan hasil melalui permit penggunaan sementara bagi tanah kategori pertanian atau permit langgar syarat, permit ruang udara dan pengenaan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada binaan menara dan papan iklan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X