Jumaat, 15 Februari 2019 | 4:13pm

Suara sengau bukan masalah nak jadi penyanyi

BACHOK: Pengalaman mengasingkan diri dan menjadi ‘bisu’ hampir 30 tahun kerana malu suaranya yang sengau memberi ilham kepada Azmira Arif untuk membuat kelas vokal bagi golongan senasib dengannya.

Azmira atau nama sebenar Mohd Azmira Mohamad Arif, 36, berkata langkah itu diambil untuk membantu orang sengau sepertinya supaya lebih yakin bercakap di depan orang ramai.

Katanya, dia merancang untuk membuka kelas vokal itu tahun ini.

“Saya mahu buktikan orang sengau juga mampu berjaya seperti insan normal dan yakin berdepan dengan masyarakat.

“Selain itu, saya mahu membantu golongan senasib untuk menceburi industri hiburan seperti yang dibuktikan kumpulan Caliph Busker,” katanya yang popular dengan lagu Pencinta Setia.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas membuat persembahan sempena Majlis Penyerahan Hadiah Kemenangan kepada pemenang Majlis Anugerah Malam Kewartawanan Kelantan (MAKK) 2017 di Sudara Beach Resort, di sini, semalam.

Azmira berkata, sebelum ini dia lebih banyak mendiamkan diri kerana tidak mahu orang mengetahui kekurangannya yang berdepan masalah lelangit terbelah sejak lahir.

“Saya boleh menyanyi sejak berusia 17 tahun dan cuba masuk pertandingan nyanyian tapi ketika itu saya hanya menyanyi sahaja, tidak bercakap sebab malu dan tidak yakin dengan diri sendiri.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak pada saya apabila muncul juara di pertandingan nyanyian sempena Pesta Pulau Pinang pada tahun 2008,” katanya.

Katanya, biarpun menyanyi sejak usia belasan tahun, namun dia hanya mempunyai keberanian bercakap sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas sentiasa melatih bercakap menggunakan perakam.

“Biarpun doktor beritahu saya hanya mampu pulih 70 peratus, saya tetap belajar sendiri sehingga pertuturan menjadi jelas dan difahami,” katanya.

DATUK Khaty membuat Persembahan Malam Amal Kasih 2018 (Kanser & OKU) yang menampilkan artis Bagio Damasutra, Ayda Jebat, Zamani, Azmira Arif dan Raja Azrey di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. - Foto Supian Ahmad
DATUK Khaty membuat Persembahan Malam Amal Kasih 2018 (Kanser & OKU) yang menampilkan artis Bagio Damasutra, Ayda Jebat, Zamani, Azmira Arif dan Raja Azrey di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. - Foto Supian Ahmad

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X