Selasa, 19 Februari 2019 | 1:34pm

PBAPP gesa jimat guna air ekoran cuaca panas, kemarau

GEORGETOWN: Kadar simpanan air mentah di Empangan Air Itam di sini, mengalami penurunan ketara berikutan faktor cuaca panas dan kemarau yang dijangka berlarutan hingga akhir Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa, berkata kadar simpanan air itu menunjukkan penurunan drastik sebanyak 24.9 peratus.

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa gesa jimat air. - Foto Zuhainy Zulkifli
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa gesa jimat air. - Foto Zuhainy Zulkifli

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang menggunakan bekalan air menerusi saluran empangan itu dinasihatkan supaya berjimat bagi mengelakkan catuan.

“Ekoran cuaca panas dan kemarau, kapasiti efektif Empangan Air Itam di sini, mula menunjukkan penurunan ketara.

“PBAPP memohon kerjasama dan timbang rasa daripada semua pengguna air di Air Itam dan kawasan sekitarnya supaya mengurangkan penggunaan air harian dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, kadar simpanan air di empangan berkenaan direkodkan pada tahap 67.3 peratus berbanding 92.2 peratus, pada 1 Januari lalu.

Jaseni berkata, taburan hujan rendah muncul sebagai antara faktor utama penurunan drastik dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam.

“Tolok taburan hujan di empangan ini mencatatkan hanya 94 milimeter (mm) hujan, sejak 1 Januari hingga semalam.

Ekoran cuaca panas dan kemarau, kapasiti efektif Empangan Air Itam, mula menunjukkan penurunan ketara. - NSTP
Ekoran cuaca panas dan kemarau, kapasiti efektif Empangan Air Itam, mula menunjukkan penurunan ketara. - NSTP

“Empangan ini menyimpan air mentah untuk kegunaan operasi bekalan air di bandar Air Itam dan kawasan sekitarnya yang mana menunjukkan kadar penggunaan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, tahap penggunaan air yang tinggi itu dilihat agak membimbangkan kerana simpanan air mentah di empangan berkenaan mengalami penurunan ketara.

“PBAPP kini melaksanakan langkah kawalan musim kemarau bagi memastikan bekalan air berterusan sehingga tiba musim hujan. Penduduk juga perlu menjimatkan penggunaan air bagi menyokong dasar ‘tiada catuan air’ di negeri ini,” katanya.

Berita Harian X