Khamis, 21 Februari 2019 | 5:44pm

JKM cari waris 16 kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon bantuan orang ramai untuk mengesan ibu bapa dan waris 16 kanak-kanak, termasuk lima beradik bagi pengurusan proses penjagaan dan pendaftaran dokumen pengenalan diri.

Lima beradik yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan ialah Ee Ting Sang, 14; Ee Si May, 12; Ee Ting Fook, 11; Eee Ting Kat, 10 dan Ee Ting Choi, berusia tujuh tahun.

Kelima-lima beradik itu tidak memiliki sijil kelahiran kerana tidak pernah didaftarkan oleh penjaga di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Pengarah JKM, Liah Pariuk, berkata ibu adik-beradik terbabit melarikan diri sejak dua tahun lalu dan kesemua mereka tidak pernah mendapat pendidikan formal kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua mereka kini tinggal bersama penjaga di Bandar Manjalara, Kepong dan diharapkan individu yang mengenali waris kanak-kanak terbabit dapat menghubungi kami bagi membantu mahkamah membuat keputusan terbaik untuk penempatan dan kebajikan mereka," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selain itu, waris Oktafiyani, berusia tiga bulan; Mohamed Rayan, dua tahun; Mohamed Sager, tiga tahun; Viswam, 6; Siti Fatimah Abdullah, 7; Mohamad Rizky Rayyan Abdullah, 7; Nur Alisha Abdullah, 9; Mahinda Yoong Hui Min, 9; Mudita Tan Fuen Xin, 12; Chong Chee Hin, 13 dan Siti Aesah Mohd Hudy, 16 turut dikesan bagi proses dokumentasi yang tergendala.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi JKM di talian 03-26124000.

Berita Harian X