Khamis, 21 Februari 2019 | 6:52pm
Dr Wan Azizah (tengah) Dr Ahmad Samsuri (dua dari kanan) pada sesi taklimat khas Pasca Bencana Monsun Timur Laut (MTL) di Kuala Terengganu, hari ini. - NSTP/Imran Makhzan

PBT diingatkan melakukan pembersihan - Dr Wan Azizah

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya sentiasa memastikan OPERASI pembersihan dilakukan di sekitar kawasan bencana bagi mengelak risiko kesihatan kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan PBT bahawa banjir surut bukan bererti hidup akan kembali normal, sebaliknya boleh membawa pelbagai kesan penyakit kepada rakyat terutamanya mangsa bencana.

“Kesan pasca banjir akan membebankan mangsa kerana mereka terpaksa hidup dengan sampah sarap bertimbun, kesan lumpur kekal di rumah dan kekurangan bekalan air bersih.

“Justeru, usaha pembersihan persekitaran pasca bencana perlu diambil tindakan sewajarnya bagi mengelak risiko kesihatan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat khas Pasca Bencana Monsun Timur Laut (MTL) di sini, hari ini.

Taklimat Pasca Bencana MTL itu disampaikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya.

Turut hadir, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Muhammad Zahari Razali.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM525,500 sebagai bantuan wang ihsan untuk 1,051 keluarga di seluruh negeri yang menjadi mangsa ribut tropika Pabuk.

Dr Wan Azizah berkata, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) melaporkan sebanyak 59 bencana membabitkan 26 kejadian ribut, 23 kejadian banjir dan 10 kebakaran berlaku di seluruh negara membabitkan 39,382 mangsa tahun lalu.

Katanya, kerajaan pusat melalui NADMA sangat menitikberatkan aspek kesiapsiagaan memperkasakan agensi-agensi untuk bertindak semasa bencana.

“Antara inisiatif kesiapsiagaan yang dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi MTL tahun lalu adalah pemberian peruntukan RM80,000 kepada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah di Terengganu, selain RM10,000 disalurkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri untuk perbelanjaan mengurus,” katanya.

Berita Harian X