Jumaat, 22 Februari 2019 | 9:17am
Mohd Ayub Maidi dari Semporna dan Nur Faten Izzati Rablin mewakili Kota Marudu dinobatkan johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Menyelam sebelum tilawah mantapkan kualiti bacaan

KOTA KINABALU: Berlatih mengawal pernafasan dan lontaran suara dengan menyelam di laut menjadi kunci kejayaan qari dari Semporna yang dinobatkan sebagai johan qari Tilawah al-Quran peringkat negeri pada tahun ini.

Mohd Ayub Maidi, 32, yang juga imam kariah Masjid Kampung Sisipan, Pulau Bum-Bum, berkata sebulan sebelum majlis tilawah, beliau berlatih di laut dengan menetapkan masa setengah jam setiap sesi latihan.

“Dalam tempoh sebulan itu, selama lapan kali saya berlatih mengawal pernafasan dan lontaran suara dengan menyelam di laut. Saya mengambil masa setengah jam dan memperuntukkan dua kali seminggu berlatih di laut.

“Alhamdulillah, kaedah itu membolehkan saya mengawal pernafasan dan lontaran suara dengan baik ketika pertandingan tilawah. Saya melakukan kaedah ini sejak dari awal pembabitan saya dalam arena tilawah al-Quran, iaitu ketika di sekolah menengah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah qari negeri Sabah daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat negeri di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini, malam tadi.

Ini kali kedua Mohd Ayub muncul johan qari peringkat negeri selepas tahun lalu sekali gus mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan selain turut mewakili negara pada majlis tilawah antarabangsa di Maldives pada tahun lalu.

Kedudukan kampung di kawasan pulau memberi kelebihan kepadanya untuk melakukan latihan menyelam sebagai langkah tambahan memperbaiki kualiti bacaan selain amalan membaca al-Quran secara berterusan.

“Ramai yang bertanya macam mana saya boleh melantunkan nada suara yang tinggi, malah ada pihak di Semenanjung mahu menjalankan kajian mengenai kaedah yang saya amalkan.

“Bagi saya aktiviti menyelam memang sangat baik untuk kita berlatih cara pernafasan. Ini kerana, ketika menyelam kita perlu pandai menahan nafas dan apabila timbul di permukaan, kita lepaskan nafas bersama dengan suara melalui mulut.

“Ia sama dengan cara membaca al-Quran bagi menghasilkan lontaran suara yang baik supaya bacaan kita juga lebih lancar dan menepati hukumnya,” katanya.

Sementara itu, johan qariah, Nur Faten Izzati Rablin, 27, yang mewakili Kota Marudu, berkata beliau banyak berguru dengan bekas johan qari selain dibimbing ibu bapanya.

Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, berkata latihan membaca al-Quran berterusan selama dua jam sehari juga menjadi amalannya bagi meningkatkan kualiti bacaan sebelum tilawah.

Katanya, minat yang mendalam dalam aktiviti tilawah juga menjadi kunci kejayaan dan ia dibuktikan menerusi pembabitannya dalam banyak pertandingan tilawah sejak tamat tingkatan lima pada tahun 2010.

Beliau pernah muncul naib johan tilawah peringkat kebangsaan pada tahun 2012, johan tilawah antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pada tahun 2011 dan tempat ketiga tilawah ASEAN di Brunei pada tahun 2013.

Berita Harian X