Jumaat, 22 Februari 2019 | 12:47pm
Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Lee Kim Shin. - Foto Nadim Bokhari
Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Lee Kim Shin. - Foto Nadim Bokhari

Sarawak, China perlu banyak penerbangan terus

MIRI: Sarawak memerlukan lebih banyak penerbangan terus menghubungkan bebarapa bandar utama di China dalam usaha meningkatkan perkembangan industri pelancongan negeri ini.

Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, berkata dengan adanya penerbangan terus itu, lebih banyak pelancong dari negara berkenaan dapat berkunjung ke negeri ini.

Katanya, usaha itu juga seiring dengan kedudukan China sebagai antara pasaran terbesar sektor pelancongan Sarawak.

“Ini penting bagi memudahkan pergerakan pelancong kerana tidak perlu membuang masa singgah (transit) di destinasi lain terlebih dulu untuk ke Sarawak. Ini lebih menjimatkan masa dan kos berkaitan.

“Saya dimaklumkan jika dari Miri, setiap penerbangan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam untuk tiba di salah satu bandar utama di selatan China,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kim Shin berkata, jika terdapat penerbangan terus, ia pasti melonjakkan lagi sektor pelancongan Sarawak seperti di Sabah, terutama dalam konteks jumlah pelancong.

“Utara Sarawak, khususnya Bandaraya Miri boleh dijadikan sebagai pintu masuk pelancong China ke negeri ini. Dengan kelebihan geografi seperti Kota Kinabalu, Bandaraya Miri berpotensi menjadi pintu masuk yang strategik bagi kawasan utara negeri ini.

“Di Sabah, sektor pelancongannya berkembang pesat kerana mendapat sokongan baik daripada syarikat penerbangan kita seperti AirAsia, Malindo Air dan Penerbangan Malaysia (MAS).Jadi, kita mengharapkan pendekatan sama untuk Sarawak,” katanya.

Katanya, Miri mempunyai produk pelancongan yang hebat ditawarkan kepada pelancong asing daripada sektor perniagaan, budaya, pengembaraan dan keindahan alam semula jadi.

Kim Shin berkata, kawasan luar bandar seperti Bario dan Bakelalan menyediakan lokasi pelancongan unik yang pasti akan mengamit pelancong untuk datang ke kawasan tanah tinggi yang sejuk dan unik dari aspek budaya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X