Jumaat, 22 Februari 2019 | 1:07pm
MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari (kanan) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Perdagangan Selangor meningkat kepada RM606.6 bilion tahun lalu

SHAH ALAM: Selangor mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM606.6 bilion berbanding tahun 2017 iaitu sebanyak RM582 bilion.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata perkara itu disahkan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Datuk Darell Leiking dalam satu pertemuan yang membincangkan isu berkaitan pembangunan perindustrian dan pelaburan di peringkat negeri.

“Saya juga dimaklumkan oleh YB Menteri, pada 2018, nilai eksport adalah hampir RM257 bilion dan nilai import RM350 bilion, berbanding pada 2017 nilai eksport hampir RM258.2 bilion dan nilai import, RM323.9 bilion.

“Sementara itu, jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor dari 2015 hingga September 2018 adalah sebanyak RM29.6 bilion.

“Daripada jumlah itu, pelaburan asing berjumlah RM15 bilion, membabitkan 369 projek, dijangka menjana 26,492 peluang pekerjaan baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amirudin berkata, pelaburan terbesar di Selangor membabitkan sektor peralatan pengangkutan, diikuti sektor pembuatan makanan dan industri kimia.

“Pelabur utama adalah dari negara seperti Jepun, China dan Singapura.

“Bagi Januari sehingga September 2018 pula, jumlah pelaburan yang diluluskan bagi negeri ini adalah RM8.3 bilion membabitkan 143 projek yang menjana 9,196 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, prestasi pelaburan di Selangor yang memberangsangkan ketika ekonomi global tidak menentu membuktikan keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap dasar mesra perniagaan yang diamalkan Selangor.

Dalam pada itu, katanya, pertemuan dengan menteri terbabit menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri ke arah membangunkan persekitaran pelaburan, perdagangan dan perniagaan yang lebih kondusif menerusi pendekatan khusus di setiap negeri.

“Perbincangan juga menyentuh isu-isu penting termasuk usaha meningkatkan pelaburan asing, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, latihan pekerja tempatan, usaha pemantapan pengurusan pekerja asing dan peningkatan produktiviti.

“Kerajaan Selangor melalui Invest Selangor akan terus melaksanakan aktiviti serta dasar yang mesra pelabur selain berusaha untuk menarik pelaburan ke Selangor, antaranya melalui Selangor Business Summit 2019,” katanya.

Berita Harian X