Rabu, 27 Februari 2019 | 3:09pm
DATUK Bandar MBJB, Amran A Rahman (kiri) pada sidang media di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mary Victoria Dass

MBJB banteras iklan ah long

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menurunkan sebanyak 2,919 iklan pinjaman wang haram di sekitar kawasan bandar raya sejak awal tahun ini.

Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman, berkata operasi oleh Jabatan Penguatkuasaan MBJB itu membabitkan penurunan 426 bunting, 140 sepanduk, 40 papan iklan dan 961 iklan pelbagai.

Katanya, iklan itu diturunkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen iklan dan tidak mempunyai permit kebenaran menggantung, selain meletakkan iklan di jalan protokol atau tempat tidak dibenarkan.

“Dalam laporan Jabatan Penguatkuasaan sepanjang awal tahun ini juga, MBJB turut mengeluarkan 5, 759 kompaun membabitkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MBJB 1981, Undang-Undang Kecil Mengkompaun Kesalahan MBJB 1981, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Antara contoh kesalahan adalah halangan kenderaan atau premis di siar kaki, lorong belakang dan kaki lima, menjalankan perniagaan atau menjaja tanpa lesen serta mengadakan ubahan tambahan atau binaan tanpa permit,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB, di sini, hari ini.

Sementara itu, Amran berkata, MBJB akan mempunyai pejabat baharu dikenali Menara MBJB yang dalam proses pembinaan di Bukit Senyum, di sini, dan dijangka siap tahun depan.

Katanya, proses pembinaan kini mencapai 47. 24 peratus dan ia bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk auditorium berkapasiti 300 orang, dewan berkapasiti 1,000 orang, kaunter setempat, taska bagi kegunaan kakitangan dan kafeteria.

“Menara berketinggian 15 tingkat tidak termasuk tujuh tingkat tempat letak kenderaan bawah tanah itu antara lain mempunyai keistimewaan Green Building Index Certified, menara pejabat bergred A dan direka bentuk oleh firma arkitek terkemuka di dunia iaitu Skidmore, Owings and Merill,” katanya.

Berita Harian X