Ahad, 3 March 2019 | 11:24am
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga dari kanan) merasmikan larian Run for Rare Penyakit Jarang Jumpa di Sunway Medical Center. - Foto Rohanis Shukri

Pembinaan klinik di Semenyih tetap diteruskan - Dr Dzulkefly

PETALING JAYA: Rancangan pembinaan sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih akan diteruskan seperti mana dicadangkan biar pun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia perlu dizahirkan bagi memastikan penduduk di kawasan itu mendapat kemudahan perubatan kesihatan yang baik.

“Apa yang disebut oleh calon kami sebelum ini adalah sesuatu yang mustahak memandangkan Klinik Kesihatan di pekan Semenyih dan Beranang sudah uzur lagi sesak.

“Saya yakin kami akan dapat lokasi tanah dan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk menjayakan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Acara ‘Run For Rare’ di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan anggaran masa berkaitan pembinaan klinik itu.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (lima dari kanan) berlari bersama kanak kanak OKU Run for Rare Penyakit Jarang Jumpa di Sunway Medical Center. - Foto Rohanis Shukri

Sebelum ini, calon PH, Muhammad Aiman Zainali, dilapor menjadikan pembinaan hospital di Semenyih sebagai agenda utama jika menang PRK itu memandangkan ia adalah permasalahan paling banyak diutarakan oleh masyarakat setempat.

Bagaimanapun, pada 25 Februari lalu, Dr Dzulkefly mencadangkan pembinaan sebuah lagi klinik ​​​​​​​kesihatan ​​​​​​oleh kerana dua klinik di pekan Semenyih dan Beranang tidak boleh diperluaskan berikutan kekangan tempat​​​​​​​ selain penambahbaikan fasiliti Hospital Kajang yang juga hospital terdekat di Semenyih.

Semalam, keputusan PRK Semenyih menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya ​​​​​​​menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi, memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 undi iaitu majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan calon Muhammad Aiman, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi). - BERNAMA

Berita Harian X