Ahad, 3 March 2019 | 2:11pm
AYUB berbakat melukis gambar potret ketika ditemui di Galeri Seni Lukis di Kampung Kraftangan. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

Jiwa seni warga emas

KOTA BHARU: Bakat melukis yang dimiliki seorang warga emas kini menjadi sumber pendapatannya, selepas bersara lebih 10 tahun lalu.

Bagi Ayub Mohamad, 75, usia bukan penghalang untuk menjadikan seseorang itu kreatif dan mempunyai daya imaginasi tinggi, tapi ia juga perlu disertai minat mendalam dalam bidang berkenaan.

Katanya, sejak terbabit dalam bidang seni 18 tahun lalu, dia sudah menghasilkan kira-kira 400 karya lukisan potret dan pemandangan untuk dijual, selain ada juga yang di simpan untuk dijadikan koleksi peribadi.

“Pada saya bakat yang ada jangan dibazirkan. Buat apa yang kita suka dan tidak mustahil ia boleh membantu kita, contohnya seperti sekarang, saya boleh menjana pendapatan dengan bakat yang di anugerah oleh Allah SWT.

“Disebabkan minat ini, hampir setiap hari saya berulang alik dari rumah yang terletak di Pengkalan Chepa ke Kampung Kraftangan di sini dengan menaiki bas untuk menguruskan galeri kecil yang disewa,” katanya ketika ditemui di Kampung Kraftangan, di sini.

Ayub berkata, dia lebih gemar menghasilkan lukisan potret bersejarah seperti Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong dan sebagainya.

“Hampir keseluruhan lukisan yang saya hasilkan menggunakan cat minyak kerana ia akan mencantikkan lagi lukisan selain menarik dan dikategorikan lukisan termahal di dunia.

“Bagi mendapatkan lukisan yang sama seperti di dalam gambar, proses menghasilkan lukisan benar-benar menuntut ketelitian.

“Untuk lukisan potret bergantung kepada gambar yang dilukis dan jangka masa yang paling lama saya ambil untuk menyiapkan lukisan potret adalah selama sebulan,” katanya yang menjual lukisannya dengan harga antara RM30 sehingga RM3,000.

Ayub yang juga pesara tentera, berkata isterinya, Tuan Noriah Tuan Mat, 70, serta lima anaknya yang berusia antara 25 hingga 40 tahun tidak pernah menghalang minatnya itu.

Berita Harian X