Selasa, 5 March 2019 | 8:54am
Keadaan sawah padi yang kering kontang dan tanah merekah di Kampung Sangkir berikutan fenomena cuaca panas dan kekurangan hujan yang melanda negara ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Kemarau jejas 8 kampung di Kota Belud

KOTA BELUD: Kemarau yang berlaku sejak hampir sebulan lalu menjejaskan lapan kampung di daerah ini, kata Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam.

Beliau berkata, kampung terbabit ialah Kampung Puhus, Tobur Kelawat, Piasau, Gaur, Ambong, Dallas, Timbang Manggaris dan Pekan Nabalu.

Katanya, setakat ini, bantuan bekalan air bersih disalurkan kepada empat kampung iaitu Puhus, Tobur Kelawat, Piasau dan Gaur membabitkan 823 ketua keluarga atau jumlah rumah.

“Bantuan kepada empat kawasan lagi iaitu Kampung Ambong, Timbang Manggaris, Pekan Nabalu dan Dallas sudah dilaksanakan mulai semalam.

“Untuk Kampung Ambong dan Timbang Manggaris, belum ada penghantaran bekalan air memandangkan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Kota Belud baru menerima maklumat daripada penduduk, namun bantuan akan disalurkan dalam masa terdekat.

“Setakat ini, empat lori swasta dengan muatan tiga tan air daripada Loji Air Bayayat, Loji Pekan Kota Belud dan Loji Pandasan digunakan untuk penghantaran bekalan air kepada empat kampung terdahulu,” katanya kepada NSTP.

Abdul Gari berkata, kampung pertama terjejas pada 1 Mac lalu adalah Puhus di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang bergantung sepenuhnya kepada air graviti.

“Keadaan air tadahan mulai kering di Kampung Puhus yang mempunyai lebih 200 penduduk dan terletak kira-kira 23 kilometer (km) dari pekan Kota Belud itu turut menjejaskan aktiviti penanaman padi.

“Selain menghantar bekalan air ke kawasan kampung, kita menerima permintaan daripada sebuah sekolah menengah untuk menghantar bekalan bagi keperluan penghuni asrama,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Pejabat Daerah Kota Belud mengisytiharkan bencana alam kemarau di daerah ini selepas cuaca panas berpanjangan tanpa hujan sejak tiga minggu lalu.

Beliau berkata, jika kemarau berterusan dan tiada hujan dalam beberapa hari lagi, pihaknya menjangka lebih banyak kampung akan menghadapi masalah air.

Berita Harian X