Rabu, 6 March 2019 | 7:05pm
Kerajaan Negeri sudah mengembalikan semula status Pulau Kukup di Pontian sebagai Taman Negara pada Januari lalu. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini
Kerajaan Negeri sudah mengembalikan semula status Pulau Kukup di Pontian sebagai Taman Negara pada Januari lalu. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini

Pulau Kukup kembali jadi Taman Negara

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri sudah mengembalikan semula status Pulau Kukup di Pontian sebagai Taman Negara pada Januari lalu bagi memastikan kawasan itu terus kekal sebagai pulau paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor dan kepentingan semua pihak.

“Status Taman Negara Pulau Kukup dibatalkan oleh kerajaan terdahulu dan apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negeri, kita mendapat permintaan masyarakat supaya statusnya sebagai Taman Negara dikembalikan.

“Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga berkenan supaya pulau itu terus dijadikan Taman Negara. Justeru, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) seterusnya membuat keputusan sedemikian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Disember lalu, dilaporkan berkata kerajaan negeri akan memastikan status Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan yang mendedahkan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara digugurkan awal tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga dilaporkan berkata, hasil perbincangan, Sultan Ibrahim yang prihatin terhadap kepentingan kawasan itu sebagai hutan paya bakau, berkenaan supaya Pulau Kukup terus kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor.

Beliau juga berkata, selain terus kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor, Pulau Kukup juga hendaklah dijaga dan dikawal selia oleh kerajaan negeri di bawah Perbadanan Taman Negara Johor.

Kebimbangan mengenai Pulau Kukup timbul berikutan warta bertarikh 25 Oktober, memaklumkan bahawa pihak berkuasa negeri akan membatalkan keseluruhan kawasan Pulau Kukup sebagai Taman Negara di bawah Subseksyen 3 (3) Enakmen Alam Sekitar Taman Negara (Johor) 1989.

Terdapat enam taman negara di Johor iaitu Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar.

Berita Harian X