Khamis, 7 March 2019 | 3:29pm

NGO sedia tanam 10,000 pokok di kawasan diceroboh

IPOH: Sahabat Alam Malaysia (SAM) sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menanam 10,000 pokok di tanah yang diteroka secara haram berhampiran Bukit Kledang di sini.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata cadangan itu sebagai langkah jangka panjang bagi mempercepatkan usaha memulihara semula kawasan seluas 10 hektar yang terjejas akibat penerokaan haram.

“Kita berharap kerajaan negeri melakukan pemuliharaan jangka masa panjang di kawasan (yang sudah diceroboh) ini dengan melakukan penanaman semula pokok.

“Kita meminta agar satu program komuniti diadakan bersama penduduk setempat termasuk pemimpin untuk menanam kira-kira 10,000 pokok.

“Kita (NGO) sanggup turun bersama-sama kerajaan negeri untuk menanam semula pokok dan memulihkan semula kawasan lereng bukit berkenaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membuat tinjauan bersama wakil Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Pejabat Menteri Besar Perak, SAM, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) dan Persatuan Pelindung Khazanah Alam Sekitar (PEKA) di kawasan itu di sini hari ini.

Meor Razak berkata penanaman semula itu akan dilakukan secara berperingkat kerana bilangan pokok yang banyak, selain memastikan hanya spesies pokok hutan bersesuaian seperti meranti atau keruing, ditanam.

Katanya, SAM berharap langkah seterusnya mewartakan kawasan itu sebagai sebahagian Hutan Simpan Kledang Saiong serta menjadi kawasan riadah dan antara tarikan utama di bandar raya itu.

Beliau berkata, tinjauan di tapak berkenaan bertujuan meninjau perkembangan lanjut mengenai aktiviti pencerobohan bukit di situ dan kerja pemuliharaan lereng bukit yang sedang dijalankan.

“Kerja pemuliharaan lereng masih lagi baru dan kita belum dapat melihat perbezaan. Kita berharap ia berterusan dan kami akan memantau bagi memastikan kawasan ini hijau kembali,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan MB Inc mengesahkan berlaku penerokaan tanah secara haram berhampiran Bukit Kledang di sini, bagi tujuan perladangan kelapa sawit.

MEOR Razak (empat kanan) bersama wakil dari Perbadanan Menteri Besar, Pejabat Menteri Besar Perak, SAM, Parti Sosialis Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pelindung Khazanah Alam Sekitar membuat tinjauan kawasan penerokaan tanah secara haram berhampiran Bukit Kledang. - Foto Muhaizan Yahya.
Berita Harian X