Jumaat, 8 March 2019 | 7:35pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Zain Ahmed

Cadangan Johor beli Legoland Malaysia tidak masuk akal

JOHOR BAHRU: Cadangan kerajaan Johor untuk mengambil alih taman tema Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia), dilihat tidak masuk akal dan boleh memberi implikasi kewangan terhadap pentadbiran negeri itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan Johor seharusnya memberi fokus kepada memacu ekonomi negeri menerusi kerjasama dengan sektor swasta dan mengurangkan perniagaan.

Katanya, jika kerajaan Johor serius untuk meneruskan cadangannya itu, maka perlu dilihat prestasi kewangannya sendiri dan pada masa sama bersifat telus terhadap analisa nilai pasaran Legoland Malaysia.

“Mampukah kerajaan negeri menguruskan Legoland Malaysia lebih baik daripada Khazanah Nasional (Khazanah Nasional Bhd)?

“Sebuah laporan terbitan Bloomberg menyatakan bahawa harga jualan Legoland Malaysia adalah sekitar RM1 bilion termasuk hutang, kemudian apakah instrumen yang mahu digunakan untuk membeli Legoland?

“Mampukah kerajaan negeri mencukupkan duit untuk membeli Legoland Malaysia tanpa membebankan kewangan kerajaan negeri?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri sepatutnya menimbangkan segenap keberangkalian yang wujud dalam mengambil keputusan untuk membeli Legoland Malaysia, sama ada dalam sudut nilai tambah pada ekonomi, masyarakat dan sektor pekerjaan.

“Asasnya, apa sahaja yang terjadi selepas pembelian Legoland Malaysia adalah terletak di atas bahu kerajaan negeri, mereka perlu menentukan banyak lagi perkara selepas membeli Legoland.

“Mereka wajib memikirkan langkah proaktif untuk menggalakkan kewujudan pekerjaan baharu, merangka model kewangan yang sesuai untuk memaksimumkan keuntungan yang bakal diterima kerajaan negeri dan juga menyelesaikan hutang yang ditanggung Legoland Malaysia,” katanya.

Katanya, selepas 10 bulan mentadbir Johor, tiada polisi ekonomi yang ampuh direncanakan kerajaan negeri.

“Mereka (kerajaan negeri) sepatutnya memberi fokus untuk membangunkan inisiatif ekonomi baharu bagi Johor dan bukan memberi fokus kepada cubaan tidak matang, tidak produktif dan mengarut untuk membeli Legoland Malaysia,” tambahnya.

Semalam, BH melaporkan kerajaan Johor tidak menolak kemungkinan membeli Legoland Malaysia jika Khazanah Nasional Bhd bersedia memberi tawaran menarik.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan hasrat Khazanah menjual taman tema berkenaan.

Berita Harian X