Sabtu, 9 March 2019 | 11:23am
DR Zaini (kanan) melepaskan peserta pada Program Kayuhan Sihat 'Fun Ride' Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan 2019 di perkarangan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Lembah Sireh, Kota Bharu. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

Demam, pening, loya antara gejala strok haba

KOTA BHARU: Individu yang mengalami gejala seperti demam, pening atau loya pada musim panas kering ini dinasihati mendapatkan khidmat kesihatan bagi memastikan mereka tidak terkena strok haba.

Pengarah Keshatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata gejala strok haba tidak spesifik namun bagi keadaan yang serius boleh menyebabkan individu terbabit mengalami sawan.

“Setakat ini tiada kes strok haba dilaporkan di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kayuhan Sihat ‘Fun Ride’ Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan 2019 di Kolej Polytech Mara (KPTM) Kota Bharu, di sini hari ini.

Beliau berkata, golongan berisiko hendaklah mengurangkan aktiviti di luar rumah serta meminum air yang banyak.

Mengulas perkembangan lain, Dr Zaini berkata, isu penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi serta jantung didapati semakin meningkat dalam kalangan rakyat.

“Jabatan Kesihatan Kelantan komited untuk terus mempromosikan aktiviti cara hidup sihat kepada masyarakat melalui aktiviti fizikal sebegini bagi menggalakkan mereka mengaktifkan diri, seterusnya dapat menghindarkan penyakit yang disebabkan gaya hidup yang tidak aktif,” katanya.

Program kayuhan itu disertai 700 peserta termasuk dari Terengganu serta anggota persatuan berbasikal negeri, membabitkan kayuhan sejauh 38 kilometer. - BERNAMA

Berita Harian X