Selasa, 12 March 2019 | 4:03pm
PENGARAH Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun (tiga dari kanan) bersama wakil penaja Oyoshi dan IGLOO-UFL melepaskan spesies patin dan jelawat di Taman Tasik Metropolitan, Batu, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan DBKL

Taman Tasik Metropolitan Batu tunggu kaki pancing Ahad ini

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 peserta dijangka menyertai Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2019 di Taman Tasik Metropolitan, Batu, di sini, Ahad ini, bagi merebut hadiah keseluruhan RM20,000.

Pertandingan memancing tahun kelapan siri kedua bertemakan `Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’ itu dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menambah rasa cinta warga kota terhadap Wilayah Persekutuan.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun, berkata aktiviti sihat pada hujung minggu itu adalah selaras usaha pihak berkuasa tempatan itu dalam memastikan keharmonian serta perpaduan warganya terus dikekalkan demi kesejahteraan bersama.

Malah, katanya, inilah waktu terbaik bersama keluarga sekali gus mewujudkan suasana ceria bersama komuniti setempat.

“Juara pertandingan akan membawa pulang RM6,000, diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.

"Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, tempat ke-11 hingga ke-80 (RM100 seorang), tempat ke-81 hingga ke-100, RM50 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu, hari ini, antaranya patin dan jelawat bersaiz antara empat hingga lima kilogram (kg).

Tahun ini, DBKL turut menyediakan hadiah khas kepada pemenang ikan keli dengan juara menerima RM300, kedua (RM200), ketiga hingga ketujuh (RM100) dan tempat kelapan hingga ke-10, RM50.

Taman Tasik Metropolitan yang berbentuk memanjang mempunyai keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk tongsan, belida dan toman seberat 10 hingga 15 kg menanti kaki pancing.

Oyoshi dan Igloo turut memeriahkan acara ini sebagai rakan strategik bersama.

Yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini dari jam 1 petang hingga 10 malam.

Maklumat lanjut, layari laman Facebook: jorankl atau hubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 atau 012-2846811.

Berita Harian X