Rabu, 13 March 2019 | 5:12pm
PPj mengingatkan orang ramai yang berurusan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan supaya tidak meletak kenderaan di bahu jalan kerana boleh ditunda atau dikenakan kompaun. - Foto hiasan

PPj tunda, kapit kenderaan halang lalu lintas

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) mengingatkan orang ramai yang berurusan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan supaya tidak meletak kenderaan di bahu jalan kerana boleh ditunda atau dikenakan kompaun.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Ali Jusoh, berkata kenderaan boleh dikenakan tindakan itu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menghalang lalu lintas dan boleh menyebabkan kesesakan.

Menurut beliau, sejak awal Januari tahun ini hingga pertengahan Mac, PPj menunda 165 kenderaan dan 588 kenderaan dikapit tayar kerana kesalahan menghalang lalu lintas.

"Tindakan ini bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai bandar contoh dalam pematuhan undang-undang jalan raya di samping mendidik orang ramai bertanggungjawab serta mengambil berat keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya kepada BH.

Kenderaan yang ditunda dibawa ke depoh PPj di Presint 20 dan pemilik kenderaan perlu menuntutnya di Depo Penguatkuasa PPj Presint 9 dengan mengemukakan dokumen kenderaan dan pengenalan diri.

PPj mengenakan caj RM30 bagi motosikal yang ditunda dan RM20 untuk kapit tayar manakala caj simpanan ialah RM50 sehari serta kompaun RM100.

“Caj tunda kereta adalah RM100, RM50 bagi kapit tayar dan caj simpanan pula RM100 sehari manakala kompaun antara RM100 hingga RM150 dikenakan mengikut kesalahan.

“Selain itu, bagi bas dan lori berat tanpa muatan tidak melebihi 3,000 kilogram, caj tunda adalah RM300, RM100 bagi kapit tayar selain RM200 sehari untuk caj simpanan serta kompaun antara RM100 hingga RM150 mengikut kesalahan,” katanya.

Ali berkata, PPj menyediakan trak tunda bagi menarik kenderaan yang menghalang lalu lintas di 22 kawasan zon tunda membabitkan Presint 1 (tujuh kawasan), Presint 16 (satu kawasan) , Presint 2 dan 3 masing-masing empat kawasan dan enam kawasan di Presint 4.

Tambah beliau, 18 kawasan kapit tayar pula membabitkan Presint 1 di Jalan Alamanda 16C, Presint 2 (lima) selain di Presint 4 dan 3, masing-masing enam kawasan di bahu jalan yang perlu dibayar serta merta sebelum apitan dibuka oleh pegawai penguatkuasa PPj.

Katanya, bagi pengguna dan pelawat yang pertama kali memasuki Putrajaya, ada banyak papan tanda menunjukkan kawasan letak kenderaan dan ia perlu dipatuhi, sekali gus mengelakkan masalah kenderaan ditunda ataupun dikapit pihak penguatkuasa.

"Pengguna boleh manfaatkan kemudahan ruang letak kereta percuma atau berbayar yang disediakan seperti di Park & Ride Presint 7, Stesen Putrajaya Sentral, Kompleks PPj, Kompleks Kastam, Kompleks B, C, E1, E2, Kompleks A Laman Perdana, Presint Diplomatik, Laman Perdana, Menara Putrajaya Holdings (PJH) dan tempat letak kereta bertingkat Presint 4," katanya.

Berita Harian X