Khamis, 14 March 2019 | 7:10am
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz. - Foto Ramdzan Masiam/Danial Saad

Hanya 17 bangsal akan dirobohkan - ADUN

GEORGETOWN: Kerajaan negeri menafikan mengeluarkan arahan pengosongan dan merobohkan lebih 200 bangsal milik nelayan di Pusat Nelayan Kawasan (PNK) Teluk Kumbar, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, berkata notis itu bagaimanapun hanya dikeluarkan kepada 17 bangsal di Kuala Sungai Teluk Kumbar, dekat sini.

Katanya, arahan terbabit dikeluarkan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Kumbar yang diluluskan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu banjir di kawasan berkenaan, Oktober lalu.

“Projek RTB Teluk Kumbar dijangka bermula pada April depan dengan Jawatankuasa Tender Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dijangka bersidang bulan ini untuk pemilihan kontraktor, dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

“Kos pelaksanaan projek (RTB Teluk Kumbar) bernilai RM10 juta dengan ia akan menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, selain dijangka memanfaatkan 5,000 penduduk setempat sekali gus mengurangkan 80 peratus kejadian banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan lebih 200 bangsal milik nelayan tradisi di PNK Teluk Kumbar di sini, yang dijadikan stor simpanan kelengkapan menangkap ikan, diarahkan dirobohkan.

Bangsal itu terletak di tepi pantai dari Kampung Nelayan hingga Sungai Batu, Teluk Kumbar, dibina sejak hampir 30 tahun lalu dengan arahan itu perlu dilaksanakan dalam tempoh dua minggu, berkuat kuasa hari ini.

Wakil nelayan, Bakri Bakar, 53, dilapor mengakui bangsal itu dibina secara haram bertujuan menyimpan pelbagai kelengkapan untuk ke laut ekoran tiada lokasi lain yang bersesuaian untuk dijadikan stor.

Azrul Mahathir berkata, tapak parkir bagi bot dan sampan milik nelayan di kawasan berkenaan akan dialihkan ke bahagian luar muara, ketika projek RTB Teluk Kumbar itu dijalankan.

“Ini kerana, kawasan muara akan menjadi tapak projek (RTB Teluk Kumbar) sepenuhnya.

“Saya berharap penjelasan ini dapat memberikan maklumat jelas. Kepentingan rakyat sentiasa diangkat sebagai agenda utama saya setelah dipilih mewakili rakyat,” katanya.

Berita Harian X