Jumaat, 15 March 2019 | 4:34pm
SAPAWI ketika menjaga isterinya, Nor Ayuza Ab Rajab yang terlantar menderita akibat darah tinggi di Kampung Pulau Jawa, Pekan pada 7 Mac lalu. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Norayuza sudah tiada

PEKAN: “Saya reda dengan pemergiannya, mungkin itu yang terbaik walaupun jauh di sudut hati saya berasakan belum buat sebaik mungkin untuknya,” kata Sapawi Mat Din, 44.

Isteri Sapawi, Norayuza Abdul Rajab, 38, menghembuskan nafas terakhirnya jam 4.40 pagi ini selepas hampir empat bulan koma sejurus melahirkan anak bongsu mereka pada 27 Disember lalu.

Katanya, dia menyedari pemergian isterinya itu selepas terjaga daripada tidur dan melihat dada isterinya tidak ‘berombak’ seperti biasa.

“Saya kemudian menghampirinya dan cuba merasa nadinya namun tidak berjaya sebelum mengejutkan ayah mentua dan menghubungi pihak hospital.

“Hati saya bagaikan tersentak apabila dimaklumkan Norayuza sudah tiada. Bagaikan tidak percaya insan yang saya sayangi selama ini sudah pergi buat selamanya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Norayuza koma selepas mengalami komplikasi ketika melahirkan anak bongsunya, Muhammad Syamir Nasri sehingga menyebabkannya koma.

Malah, doktor juga memaklumkan jantungnya berhenti selama 20 minit dan menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak. Norayuza bagaimanapun selamat melahirkan anak lelakinya itu secara pembedahan selepas dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Sapawi yang bekerja sebagai operator kilang berkata, sebelum tidur semalam dia sempat menjenguk isterinya dan ketika itu Norayuza masih bernafas.

Katanya, dia menyedari isterinya menunjukkan sedikit perubahan apabila jarang membuka matanya sejak beberapa hari lalu dan kelihatan agak lemah.

“Sebelum ini walaupun berada dalam keadaan tidak sedar dia sering membuka dan mengerdipkan matanya namun sejak beberapa hari lalu saya perasan akan kelainannya.

“Saya tidak sangka ia petanda dia akan meninggalkan kami buat selamanya,” katanya.

Suasana menjadi hiba apabila Sapawi dilihat membawa anak bongsunya untuk mencium jenazah Norayuza buat kali terakhir.

Katanya, dia terpaksa meminta kebenaran pihak Hospital Pekan untuk membawa keluar anaknya sebentar memandangkan Muhammad Samir Nasri masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Sejak bersalin, isteri tidak pernah melihat mahupun memeluk anak bongsu kami. Ini (ciuman) adalah kali pertama dan terakhir buatnya,” katanya.

Jenazah Norayuza selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Marhum, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Berita Harian X