Selasa, 19 March 2019 | 10:50am
Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok (PPAP) di sini berjaya menghasilkan lebih 1.92 juta benih ikan lampam sungai yang tertinggi. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

PPAP hasil 1.92 juta benih ikan lampan sungai

JERANTUT: Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok (PPAP) di sini berjaya menghasilkan lebih 1.92 juta benih ikan lampam sungai yang tertinggi berbanding sembilan spesies ikan air tawar lain.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman, berkata pihaknya turut menghasilkan sebanyak 85,000 benih ikan sebarau, 103,000 kerai lampam, 110,000 kerai, 134,000 baung dan 450,000 terbul pada tahun lalu.

Katanya, usaha menghasilkan benih spesies kelah dan tamalian yang sebelum ini menghadapi masalah menunjukkan kejayaan membanggakan apabila menghasilkan 22,000 benih walaupun tidak mencapai sasaran.

“Dalam tempoh dua bulan tahun ini, PPAP yang turut menyediakan latihan kepada penternak ikan air tawar berjaya menghasilkan 600 benih kelah, 29,000 sebarau, 36,000 kerai dan 310,000 lampam sungai.

“Usaha menghasilkan benih sembilan spesies ikan air tawar dilakukan sepanjang tahun kecuali ikan tamalian yang proses aruhan boleh dilakukan dalam masa dua minggu sepanjang Februari hingga April,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke PPAP di sini, hari ini.


Azahari menunjukkan induk ikan kelah yang terdapat di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Yang turut hadir, Pengurus PPAP, Mohd Nasir Muhamad.

Mengulas lanjut, Azahari berkata, kekurangan induk berkualiti selain faktor semula jadi menjadi antara sebab benih ikan kelah dan tamalian yang terkenal di negeri ini tidak banyak dapat dihasilkan setiap tahun berbanding spesies lain.

“Sebagai contoh PPAP kini hanya mempunyai sebanyak 600 induk kelah matang yang dihasilkan sejak beberapa tahun lalu dan ikan berkenaan ditempatkan dalam kolam tanah,” katanya.

Katanya, antara usaha menambah induk kelah adalah dengan membeli daripada nelayan darat dan pembekal namun tidak semua induk berkenaan mampu menghasilkan benih sepanjang tahun seperti diharapkan.

“Pada 2002, PPAP membeli sebanyak 60 induk kelah daripada pembekal yang menangkap spesies berkenaan di Sungai Serau, Lipis.

“Seekor induk kelah matang berumur empat tahun yang mencapai berat dua kilogram (kg) dan ia mampu menghasilkan kira-kira 2,000 benih setahun namun tidak semua benih yang dikeluarkan hidup dan membesar,” katanya.

Berita Harian X