Selasa, 19 March 2019 | 11:30am
Masalah banjir setiap tahun di kawasan DUN Gaal, Pasir Puteh dapat diatasi dengan pelaksanaan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Buaya membabitkan kos RM15 juta. - Ihsan pembaca

RM15 juta untuk atasi masalah banjir di Pasir Puteh

KOTA BHARU: Masalah banjir setiap tahun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal, Pasir Puteh dapat diatasi dengan pelaksanaan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Buaya membabitkan kos RM15 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti, Datuk Azami Mohd Nor, berkata kampung berkenaan yang sering dilanda banjir adalah Kampung Temila, Kampung Pulau Sa, Kampung Gong Chapa dan Kampung Gong Pok Ndor.

“Kerajaan negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa mengadakan mesyuarat secara berkala dengan jabatan dan juga pimpinan masyarakat setempat supaya langkah-langkah perlu diambil.

“Setakat ini, JPS sudah membuat permohonan untuk mendapatkan peruntukan RM15 juta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Mohd Rodzi Jaafar (PAS - Gaal) pada Persidangan DUN Kelantan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN- Kok Lanas) berkata, di sepanjang tebing Sungai Kelantan dari Kemubu hingga Salor, terdapat ban dan ban berkenaan perlu diselia bagi memastikan ia tidak bocor ketika air melimpah.

“Banjir 2014 sebenarnya berpunca daripada ban yang bocor kerana dipercayai ditebuk oleh pengusaha pasir.

“Ketika itu saya sebagai Pengerusi Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) perlu memperuntukan RM1 juta untuk baik pulih,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan sejauh mana kerajaan negeri mahu memastikan ban tidak dibocorkan oleh pengusaha tebing yang menjadi faktor banjir.

Menjawab soalan tambahan itu, Azami berkata pihaknya sentiasa berbincang mengenai masalah berkenaan.

Pada masa sama katanya, pihaknya sudah mengenal pasti tujuh atau lapan pengusaha pasir yang terbabit dan kerajaan negeri akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Berita Harian X