Selasa, 19 March 2019 | 12:31pm
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman. - Arkib NSTP

Demam campak meningkat, 30 peratus mangsa tiada vaksin

KUANTAN: Kes demam campak di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 200 peratus dengan 21 kes direkodkan yang sebahagiannya menjangkiti individu tiada suntikan vaksin measles.

Statistik sehingga 16 Mac lalu itu lebih tinggi berbanding hanya tujuh kes bagi tempoh masa sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata Kuantan menjadi daerah yang menyumbang jumlah tertinggi demam campak iaitu 19 kes (90.4 peratus) manakala Rompin dan Temerloh masing-masing satu kes.

Katanya, hampir 30 peratus kes demam campak ini menjangkiti individu tiada suntikan vaksin measles dan ia adalah satu perkara membimbangkan.

“Peratusan tinggi kes demam campak ini membimbangkan dan kita minta ibu bapa membawa anak-anak ke klinik terdekat untuk mendapatkan vaksin measles bagi memastikan mereka dilindungi daripada jangkitan dan komplikasi,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Dr Sha’ari berkata, vaksin measles diberikan sebanyak dua dos kepada kanak-kanak di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan pada usia sembilan dan 12 bulan.

“Liputan imunisasi melebihi 95 peratus akan memastikan imuniti kelompok kekal tinggi bagi mengekang penularan jangkitan measles dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan bijak ini akan menurunkan risiko jangkitan dan mengurangkan keseriusan penyakit serta mencegah kematian,” katanya.

Beliau berkata, demam campak mudah merebak melalui udara dengan titisan cecair dari mulut dan hidung ketika bercakap, batuk dan bersin.

“Antara gejala penyakit ini seperti demam, ruam, batuk, selsema dan sakit mata (konjunktivitis), orang ramai disaran segera berjumpa doktor sekiranya mengalami gejala itu untuk rawatan segera,” katanya.

Katanya, kanak-kanak yang mengalami demam campak perlu diasingkan dan tidak boleh dihantar ke pusat jagaan, taska serta sekolah.

“Elakkan bawa kanak-kanak yang dijangkiti hadir ke perjumpaan atau perhimpunan terutama membabitkan kumpulan berisiko seperti bayi, pesakit mengalami imuniti rendah seperti penghidap kanser, HIV/Aids serta mereka yang menerima rawatan kemoterapi,” katanya.

Berita Harian X