Selasa, 19 March 2019 | 4:31pm
Eddy Rozaimi Fadirallah menunjukkan cendawan jerami yang sedia untuk dituai - Foto NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Cendawan jerami berpotensi hasil pendapatan sampingan

JEMPOL: Percubaan Penolong Pengurus FELDA Lui Timur, Eddy Rozaimi Fadirallah, menanam cendawan jerami atau nama saintifiknya ‘volvariela volvace’ menggunakan tandan kelapa sawit membuahkan hasil.

Eddy Rozaimi, 41, yang memulakan usaha itu sejak Disember lalu sebagai percubaan kesesuaian sehingga ini sudah mengutip kira-kira 40 kilogram cendawan yang harga pasarannya sekitar RM20 sekilogram.

“Penduduk mulanya hairan apabila melihat kami membasuh tandan kelapa sawit yang digunakan untuk menanam cendawan jerami di tapak semaian.

“Kami membasuh tandan kelapa sawit yang diambil dari kilang sebelum digunakan untuk proses menanam cendawan,” katanya ketika ditemui semalam.

Cendawan jerami atau nama saintifiknya ‘volvariela volvace’ yang mampu menghasilkan pendapatan sampingan - Foto NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Katanya, idea mencuba tanaman itu diperoleh daripada bapa saudaranya yang mengusahakan tanaman berkenaan di Tasik Pedu, Kedah tetapi menggunakan jerami padi sebagai perumah cendawan.

Eddy berkata, oleh kerana sukar mendapatkan jerami padi di sini, ia ditukar kepada tandan kelapa sawit namun perlu dibersihkan dari segala kekotoran termasuk sisa minyak sebelum dapat digunakan.

“Cendawan ini cukup mudah diusahakan tidak seperti cendawan tiram atau kukur yang memerlukan pelbagai kaedah lain.

“Ia hanya mengguna teknik, tanam, tinggal dan tuai,” katanya.

Eddy berkata, walaupun cendawan itu masih asing dalam kalangan penduduk tempatan, percubaan pertama itu berhasil, malah kini semakin diminati.

Tempat tanaman cendawan jerami yang menggunakan tandan kelapa sawit sebagai perumah - Foto NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Katanya, pengalaman kerja selama 16 tahun bersama FELDA digunakan bagi mengusahakan projek berkenaan apatah lagi pasaran cendawan berkenaan mencecah RM20 sekilogram.

“Ketika pertama kali menjual cendawan di pasar Bahau, ramai yang terkejut melihat rupa cendawan ini tetapi kini semakin diminati,” katanya.

Katanya, pengurusan FELDA sudah melawat projek perintis itu dan mahu pembabitan lebih ramai warga peneroka diberi peluang mengusahakan tanaman itu sekali gus berupaya memperoleh pendapatan sampingan.

“Saya menyasarkan penyertaan 20 penduduk bagi mengusahakan tanaman ini menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Peneroka, Saiful Tusairi, 32, menyertai projek itu selepas tertarik dengan kaedah pengurusan tanaman itu yang mudah.

Katanya, projek penanaman cendawan itu dimulakan pada Disember tahun lalu dan selain menggunakan rak yang diletak di dalam bangsal bagi pembiakan benih cendawan, ia juga boleh ditanam di atas tanah.

“Di atas tanah cendawan hanya tumbuh pada bahagian atas tandan tetapi di atas rak cendawan tumbuh di bahagian atas dan bawah tandan.

“Ia sangat mudah diuruskan, selepas benih cendawan ditabur pada tandan, ia ditinggalkan sahaja sehingga hari ke-10 untuk melihat percambahan benih dan selepas seminggu hasil boleh dituai,” katanya.

Berita Harian X