Rabu, 20 March 2019 | 9:40am
Timbalan AMK Kedah, Mohd Aizuddin Ariffin. - Arkib NSTP

Tetap 50 peratus kuota kepada anak Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri dicadang supaya menetapkan kuota pekerjaan sekurang-kurangnya 50 peratus hanya kepada anak Kedah melalui pembangunan projek mega, khususnya pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohd Aizuddin Ariffin, berkata keutamaan kepada golongan muda tempatan itu penting untuk memastikan mereka tidak terpinggir atau terlepas peluang daripada limpahan transformasi ekonomi, hasil pembangunan projek mega di negeri ini.

“Dengan adanya kuota itu, ramai anak muda tempatan boleh merebut peluang untuk mendapatkan pekerjaan khususnya pekerjaan tahap profesional.

“Ini kerana mereka sepatutnya diberi keutamaan untuk merasai limpahan kemajuan melalui pembangunan projek mega ini, ” katanya melalui kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman kerajaan Pusat yang meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP membabitkan pelaburan luar sebanyak RM1.6 bilion.

Selain KXP, projek berimpak tinggi lain yang diluluskan ialah pembinaan Lebuhraya Koridor Utara Fasa 1A (Bandar Baharu-Sungai Petani) dalam fasa satu serta Fasa 1B (Bandar Baharu-Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) yang bernilai keseluruhan RM1.7 bilion dalam fasa kedua.

Pembangunan Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam dekat Kulim membabitkan peruntukan RM300 juta, manakala Program Kasih Ibu Darul Aman atau KIDA (RM30 juta), Perpustakaan Digital Alor Setar (RM15 juta) serta kajian pembinaan Taman Industri Petro-Kimia Gurun (RM2 juta).

Pada masa sama, Mohd Aizuddin yang juga EXCO AMK Pusat berkata, pembangunan projek mega itu, khususnya KXP dijangka mewujudkan rangkaian perkembangan bandar baharu di sekeliling kawasan lapangan terbang yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.

Katanya, kerajaan juga boleh mengkaji untuk pembangunan projek sampingan yang boleh diwujudkan di kawasan pinggiran supaya ia boleh ditransformasikan kepada bandar baharu, hasil daripada pembinaan KXP.

“Kawasan pinggiran di sekeliling KXP berupaya menjadi bandar baharu dan ia turut boleh menyumbang kepada pendapatan untuk kerajaan.

“Namun, apa yang penting adalah pembangunan KXP harus bergerak seiring dengan pembinaan infrastruktur yang lengkap di sekelilingnya, ” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X