Isnin, 25 March 2019 | 2:39pm
Mukhriz (tengah) bersama Abdul Fattah (kanan) dan Ahli Jawatankuasa ANGKASA pada Mesyuarat Perjumpaan bersama Menteri Besar di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

120 hektar tanah sesuai jadi ladang solar di Kedah

ALOR SETAR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) mengenal pasti 120 hektar tanah di Kedah untuk mewujudkan lebih banyak ladang solar bagi meluaskan perniagaannya susulan kejayaan projek pertama di Titi Akar, Sungai Tiang, Pendang.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata pelaksanaan projek itu akan dilakukan berperingkat berikutan kos yang diperlukan berjumlah RM600 juta atau RM2 juta setiap 0.4 hektar.

Katanya, projek itu akan dilaksanakan dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri dan tanah yang dikenal pasti sebahagian besarnya akan disewa daripada ahli koperasi sendiri.

“Projek perintis di Titi Akar membekalkan tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak awal tahun lalu dengan keuntungan kira-kira RM100,000 sebulan. Cuaca panas sangat sesuai dengan perniagaan solar dan kerana itulah kita mahu memperluaskan perniagaan ini.

“Kami akan memaksimumkan peluang yang ada bagi menyahut seruan kerajaan yang mensasarkan perolehan koperasi sebanyak RM55 bilion menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, pada peringkat awal ANGKASA akan mengeluarkan modal pelaburan dan ekuiti akan dilepaskan kepada koperasi selepas projek solar itu mendapat keuntungan.

Katanya, ANGKASA hanya akan memegang kira-kira 30 peratus ekuiti manakala selebihnya adalah kepada koperasi yang terbabit dalam projek berkenaan.

“Di Kedah, kita ada 976 koperasi dengan 238,160 ahli, yang mana perolehan keseluruhan koperasi kira-kira RM198 juta. Kita harapkan industri solar ini mampu menjana pendapatan tambahan sebanyak 15 peratus lagi menjelang tahun 2020,” katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, pihaknya turut mendapat kepercayaan Mukhriz untuk membantu kerajaan negeri meningkatkan jaringan ekonomi dengan Thailand terutama di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam.

“Cadangan awal, kami akan berbincang dengan koperasi di selatan Thailand bagi melihat bentuk perniagaan yang sesuai,” katanya.

Berita Harian X