X
Rabu, 27 March 2019 | 12:21am
MENTERI Besar, Datuk Osman Sapian hadir pada majlis perasmian Kajian Pertengahan Penggal NUTP sesi 2017 hingga 2020 di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof
MENTERI Besar, Datuk Osman Sapian hadir pada majlis perasmian Kajian Pertengahan Penggal NUTP sesi 2017 hingga 2020 di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof

NUTP digesa berubah selaras aspirasi kerajaan baharu

JOHOR BAHRU: Anggota Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) digesa memainkan peranan untuk menerima dan melaksanakan perubahan selaras dengan aspirasi kerajaan baharu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata perubahan terutama pembudayaan inovasi dalam NUTP harus dipertingkatkan ke tahap maksimum agar tidak menjadi sekadar slogan kosong semata-mata.

Katanya, pembudayaan inovasi bermula daripada kefahaman penghayatan ilmu sebenarnya, maka menjadi tuntutan dan kewajipan kepada semua warga NUTP supaya manfaatnya boleh dirasai secara menyeluruh terutama dalam kalangan warga pendidik khususnya di Johor.

“Justeru, setiap guru yang menganggotai NUTP harus mempunyai daya usaha produktif untuk mendapatkan ilmu pengetahuan sebagai teras dalam menjayakan inovasi dan kreativiti.

“NUTP dan Kementerian Pendidikan tidak dapat dipisahkan, maka sewajarnya seluruh ahli NUTP menghayati sepenuhnya etika dan etos perkhidmatan yang penuh integriti dan akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kajian Pertengahan Penggal NUTP sesi 2017 hingga 2020 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak dan Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock.

Osman berkata, sungguhpun hari ini ekonomi negara berada dalam keadaan tidak menentu, pihak kerajaan masih bersetuju untuk melaksanakan rasionalisasi skim perkhidmatan yang dicadangkan.

“Ini kerana NUTP merupakan pemegang taruh bagi kerajaan dan haruslah mengukuhkan nilai kewibawaan dalam diri masing-masing dengan sentiasa bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan.

“Natijahnya, kerajaan dan NUTP perlu terus bersatu hati dan berganding bahu dalam usaha melestarikan pendidikan yang juga agenda berterusan dalam usaha mengubah pendidikan.

“Saya juga mengalu-alukan sebarang kerjasama atau ‘engagement’ yang ingin dicadangkan oleh NUTP demi kebajikan guru di Johor,” katanya.

Berita Harian X