Rabu, 27 March 2019 | 2:24pm
PENOLONG Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Tang Siew Seng (tiga dari kiri) bersama wakil penaja Oyoshi, 100Plus dan IGLOO-UFL melepaskan spesies patin.

Rebut RM20,000 di Taman Tasik Metropolitan Kepong

KUALA LUMPUR: Cuti persekolahan hujung minggu ini boleh dijadikan waktu terbaik untuk bersama keluarga dengan menyertai Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL).

Justeru, warga kota diajak memenuhi Taman Tasik Metropolitan, Batu, di sini, Ahad ini, sambil menyertai pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menawarkan hadiah keseluruhan RM20,000.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun, berkata pertandingan tahun kelapan siri ketiga itu dapat menambahkan semangat cinta warga kota terhadap Wilayah Persekutuan.

Katanya, selaras temanya ‘Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera’, usaha itu bertujuan memastikan keharmonian serta perpaduan warganya terus dikekalkan demi kesejahteraan bersama.

“Kita harap pertandingan memancing ini dapat mewujudkan suasana ceria bersama komuniti setempat yang dikenali sebagai Taman Layang-Layang Kepong”

“Juara pertandingan akan membawa pulang RM6,000, diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000."Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200 dan pemenang tempat ke-11 hingga ke-80 menerima RM100 seorang.

Begitu juga tempat ke-81 hingga ke-100 menerima RM50 seorang manakala tahun ini pihak DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang kategori ikan keli terberat yang mana juara menerima RM300, kedua RM200, ketiga hingga ketujuh, RM100 dan tempat kelapan hingga ke-10, RM50,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini. Semalam, lebih satu tan ikan dilepaskan di tasik itu, antaranya spesies patin seberat antara empat hingga lima kilogram (kg).

Mohd Nazam berkata, kira-kira 1,000 peserta dijangka mengambil bahagian pada siri kali ini berikutan tasik ini pernah menjadi tumpuan pada siri 1/2019 apabila spesies ikan patin seberat 11.445 kg pernah dinaikkan di tasik ini sekali gus membolehkan pemancing muncul juara.

Tasik ini mempunyai keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk tongsan, belida, patin dan toman bersaiz 10 hingga 15 kg menanti kaki pancing.

“Sebelum ini hasil tangkapan ikan yang berjaya ditimbang oleh kaki pancing pada siri 1/2019 melebihi 300 ekor dan tidak mustahil ia akan berulang disebabkan faktor air dan tasik yang mampu memberikan hasil tangkapan kepada kaki pancing,” katanya.

Oyoshi (Perasa Sakura), Igloo-UFL dan Pure Fishing Malaysia Sdn Bhd turut memeriahkan acara ini sebagai rakan strategik bersama lagi.

Yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini dari jam 1 petang hingga jam 10 malam.

Maklumat lanjut, layari laman Facebook: jorankl atau hubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 atau 012-2846811.

Berita Harian X