Khamis, 28 March 2019 | 11:59am
Sebagai pembuka tirai, belon udara panas warna-warni dan mempunyai pelbagai bentuk menarik termasuk badut, gajah, sotong dan beruang memenuhi ruang udara Putrajaya pagi ini dan dinaiki oleh para pengamal media awal pagi ini. - Foto BERNAMA

20 belon udara panas mewarnai ruang udara Putrajaya

PUTRAJAYA: Sebanyak 20 belon udara panas diterbangkan di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya sempena hari pembukaan Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa ke 10 di sini, hari ini.

Semua belon berkenaan diterbangkan oleh juruterbang dari 14 negara termasuk Sepanyol, Slovakia, Brazil, Australia, Jepun, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan dan Taiwan.

Sebagai pembuka tirai, pengamal media dibawa menaiki belon udara panas pelbagai bentuk menarik termasuklah badut, gajah, sotong dan beruang.


Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya Ke-10 berlangsung di Presint 2 bermula hari ini hingga 31 Mac dan akan membabitkan sebanyak 20 belon udara panas yang diterbangkan oleh para juruterbang dari 14 buah negara. - Foto BERNAMA

Antara negara menyertai program itu ialah Sepanyol, Slovakia, Brazil, Australia, Jepun, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan dan Taiwan. Pelbagai aktiviti dianjurkan dengan harga tiket bermula dari RM15 hingga RM300 mengikut jenis acara yang disediakan. - Foto BERNAMA

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata beliau menjangkakan lebih 200,000 pengunjung akan memeriahkan fiesta yang berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini.

“Apa yang menariknya, pada fiesta kali ini kita akan mengembalikan acara ‘night glow’, yang mana belon udara panas akan dinyalakan secara serentak mengikut iringan muzik dan pertunjukan bunga api.

“Selain itu, pelbagai kegiatan menarik turut diadakan sesuai dengan semua peringkat umur,” katanya.

Pelbagai kegiatan dianjurkan sempena fiesta terbabit, dengan harga tiket bermula dari RM15 hingga RM300, bergantung kepada acara yang ingin disertai.

Tiket bagi semua acara berkenaan boleh dibeli secara dalam talian di https://www.myballoonfiesta.com.

Berita Harian X