Khamis, 28 March 2019 | 6:48pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - NSTP/Amran Hamid

Kedah rancang bina hab aeropolis dan aeroangkasa

LANGKAWI: Kedah bakal menubuhkan hab aeropolis dan aeroangkasa, khusus bagi melengkapkan pembangunan industri penerbangan di negeri itu menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kelulusan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) khusus bagi mengangkut kargo bakal memberi impak besar kepada negeri itu pada masa hadapan.

Katanya, hab aeropolis dan aeroangkasa yang bakal dibuka bakal melengkapkan industri penerbangan selepas projek KXP dan kemudahan Aerospace Composite Malaysia (ACM) di Bukit Kayu Hitam.

“Sebagai permulaan syarikat AVIC Harbin akan melabur bagi membina kemudahan pemasangan pesawat Y12 dan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter AC312E di Kedah.

“Hab ini bakal meletakkan Kedah di peringkat global dalam industri penerbangan dengan harapan mampu menjadi pusat pembangunan dan penyelidikan industri penerbangan pada masa hadapan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Pembinaan Hab Aeropolis dan Aeroangkasa Utara serta MOU Penubuhan Kemudahan Pemasangan AVIC Harbin.

Difahamkan, syarikat dari China berkenaan akan melabur antara RM1 hingga RM2 bilion bagi menyokong penubuhan hab aeropolis dan aeroangkasang dalam tiga peringkat bermula tahun hadapan.

Setakat ini, kerajaan negeri belum memutuskan di mana hab berkenaan akan dibina, namun ia berkemungkinan dibuka sama ada di Alor Setar, Langkawi atau Kulim mengikut kesesuaian.

Sebagai permulaan, AVIC Harbin dijangka memulakan kerja pemasangan akhir pesawat Y12 di kemudahan sementara di Lapangan Terbang Alor Setar (LTAS) mulai tahun hadapan.

Berita Harian X