Jumaat, 29 March 2019 | 12:10pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perunding Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. - Foto Nadim Bokhari

Sarawak tunggu pindaan RUU Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan

KUCHING: Sarawak belum membuat keputusan muktamad berhubung pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung.

Pengerusi Jawatankuasa Perunding Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, berkata ketika ini pihaknya tidak dapat mengulas perkara itu sehingga selepas Rang Undang-Undang (RUU) yang dicadangkan itu diteliti oleh semua ahli jawatankuasa.

“Bagaimanapun, kami menyokong apa jua pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang lain berhubung perkara itu jika kami yakin ia mengandungi peningkatan substantif terhadap hak dan kepentingan negara dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MA63 Sarawak bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, petang semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong sebelum ini mengumumkan bahawa Kabinet Pusat bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Sementara itu, Mohamad Asfia yang juga Speaker DUN Sarawak, berkata isu yang dibincangkan oleh Jawatankuasa Pemandu MA63 Persekutuan berjalan lancar walaupun masih tiada keputusan muktamad mengenainya.

Bagaimanapun katanya berikutan perbincangan itu diklasifikasikan sebagai ‘rahsia’, mereka tidak bebas untuk mendedahkan kandungannya kepada umum.

“Ini adalah isu yang amat penting kepada Sarawak dan juga kepada negara, oleh itu kami bersedia untuk menunggu dan dikemas kini selaras dengan jadual yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu MA63 Persekutuan.

“Kami akan mendedahkan kepada orang ramai apabila tiba masanya selepas laporan jawatankuasa dimuktamadkan,” katanya.

Berita Harian X