Isnin, 1 April 2019 | 10:52am
PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman (dua dari kiri) pada sidang media selepas menghadiri Majlis Inovasi Puisi di Gelanggang Seni Warisan, Kuantan, malam tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Penjenamaan semula bantu lonjak seni persembahan Pahang

KUANTAN: Penjenamaan semula dan kesinambungan polisi kerajaan boleh membantu mempromosikan produk kesenian Pahang kepada generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, berkata kerajaan negeri sentiasa melihat kesenian masyarakat Pahang sebagai antara aset terpenting dalam pembentukan nilai baik dalam kehidupan masyarakat ketika ini.

“Kita tidak dapat menafikan kepentingan produk kesenian, terutamanya seni persembahan dalam menjaga warisan sejak zaman berzaman.

“Kerajaan Pahang akan terus memberikan kerjasama kepada semua pihak (penggiat) yang aktif mempromosikan dan memelihara seni budaya negeri ini.

“Saya percaya, banyak produk kesenian yang kita miliki mempunyai peminat dan nilai (komersial), jadi adalah perlu untuk kita (kerajaan negeri) dengan kerjasama pihak Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) serta aktivis mencari jalan untuk menjenamakan semula produk (kesenian) ini untuk menarik perhatian generasi muda tanpa mengabaikan keaslian produk seni itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Inovasi Puisi di Gelanggang Seni Warisan, dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah JKKN Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Gelanggang Seni Warisan, Wan Adnan Wan Abdullah.

Sementara itu, Dayang Kartini berkata, pihaknya sedia menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan aktivis kesenian di Pahang untuk menjenamakan semula produk kesenian yang mempunyai nilai komersial dan produk seni yang sebelum ini terpinggir.

Katanya, pihak JKKN mempunyai data mengenai jumlah penggiat seni di Pahang dan ia akan dikemaskini untuk memudahkan proses penjenamaan dilakukan.

“Saya difahamkan banyak produk kesenian yang makin dilupakan penduduk Pahang, terutamanya generasi muda... mungkin ada antaranya (penggiat seni) sudah tidak aktif atau meninggal dunia, jadi tidak ada pihak meneruskan atau mewarisi bakat dalam bidang kesenian itu.

“Perkara ini kita akan teliti kemudian dan satu pertemuan (perbincangan) dengan kerajaan Pahang boleh dilakukan dalam masa terdekat.

“Ini bertujuan untuk merangka atau mencari jalan bagi memastikan ada kesinambungan usaha untuk semua produk kesenian yang ada di negeri ini dapat diangkat semula khusus untuk tatapan generasi baru,” katanya.

Berita Harian X