Sabtu, 6 April 2019 | 12:28pm

TAPEM taja RM15 juta pengajian pelajar ke luar negara

AYER KEROH: Kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) memperuntukkan RM15 juta setahun bagi pinjaman dan dermasiswa kepada pelajar menyambung pengajian dalam pelbagai bidang pendidikan di luar negara.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata program Dermasiswa TAPEM yang julung kali diperkenalkan itu menaja delegasi pertama membabitkan seramai 27 pelajar dalam bidang pengajian Islam ke Universiti Al-Azhar, Mesir membabitkan jumlah peruntukan RM20,000 seorang selama empat tahun pengajian.

Beliau berkata, kaedah pemilihan itu dinilai oleh Sekretariat Pengurusan Pelajar Luar Negara (SPPLN) terhadap pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang memperoleh mumtaz dan jayyid jiddan dalam peperiksaan 2018.

“Kerajaan negeri akan memantau pelajar (luar negara) ini kerana kita mahu petunjuk prestasi utama (KPI) seratus peratus ini dicapai, dengan memastikan pelajar menamatkan pengajian cemerlang mengikut tempoh ditetapkan.

“Aspek TAPEM menyeluruh, bukan hanya menumpukan bantuan kepada satu bidang dan satu kaum saja. Ada pengajian lain seperti kedoktoran dan kejuruteraan, kita juga sedang menilai bidang sukan untuk mengenalpasti tokoh pelajar yang berkemampuan dalam bidang sukan,” katanya.

ADLY Zahari (tiga dari kanan) beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Pelepasan Pelajar Yang Menerima Dermasiswa Pengajian Islam Kerajaan Negeri Melaka ke Mesir di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelepasan Delegasi Penghantaran Pelajar Penerima Dermasiswa Pengajian Islam Melaka ke Universiti Al-Azhar, Mesir, di perkarangan blok Seri Bendahara, Seri Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, SPPLN dianggotai agensi kerajaan negeri dan persekutuan iaitu TAPEM, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan negeri menjadi jawatankuasa pelaksana penyelarasan dan penilaian pelajar di Jordan, Mesir, Maghribi dan Indonesia .

Sementara itu, Setiausaha MAIM, Azman Aziz, berkata pihaknya akan menguruskan aspek kebajikan pelajar dengan menempatkan mereka di Wisma Seri Melaka dan Wisma Melaka di Kaherah.

“Bagi kohort pertama ini, mereka akan ditempatkan di Wisma Melaka yang dilengkapi kemudahan seperti 124 katil, bilik tutorial, dewan makan dan pejabat atase,” katanya.

ADLY Zahari (tengah) bergambar bersama pelajar pada Majlis Pelepasan Pelajar Yang Menerima Dermasiswa Pengajian Islam Kerajaan Negeri Melaka ke Mesir di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X