Ahad, 7 April 2019 | 9:47am
Ikan haruan seberat dua kilogram berjaya di tangkap peserta yang menyertai pesta menangkap ikan air tawar di Kampung Berangan Pondok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Ikan haruan seberat dua kilogram berjaya di tangkap peserta yang menyertai pesta menangkap ikan air tawar di Kampung Berangan Pondok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Berkubang tangkap ikan

TUMPAT: Lebih 100 penduduk di Kampung Berangan Pondok di sini, semalam bermandi lumpur apabila masing-masing berebut menangkap ikan di tiga kolam milik penduduk.

Suasana itu ibarat pesta kerana bukan sahaja orang dewasa tapi turut disertai kanak-kanak.

Seawal jam 7 pagi penduduk sudah berada di tepi kolam menunggu air dipam menggunakan enjin.

Sebaik acara bermula, masing-masing mula terjun dan meraba di permukaan dan dasar kolam yang berselut bagi mencari ikan yang bersembunyi.

Penduduk kampung mengasing ikan haruan bersaiz besar selepas berjaya ditangkap, di Kampung Berangan Pondok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Penduduk kampung mengasing ikan haruan bersaiz besar selepas berjaya ditangkap, di Kampung Berangan Pondok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Separuh ikan yang ditangkap dibahagikan sama rata kepada penduduk kampung, manakala selebihnya dijual pemilik kolam di pasar berdekatan.

Pemilik kolam, Mohd Fakrudin Mat Ail, 32, berkata aktiviti menangkap ikan air tawar itu diadakan bagi membersihkan tiga kolam ikan terbiar yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan.

Katanya, program bermula seawal jam 9.30 pagi terdiri mendapat sambutan menggalakkan.

“Setiap kali banjir memang ikan dari luar iaitu yang dibawa arus banjir akan masuk ke dalam kolam dan terperangkap.

“Jadi saya merasakan semua kolam itu sudah tidak dapat menampung ikan yang semakin membiak maka saya adakan aktiviti menangkap ikan untuk membersihkan semua kolam berkenaan.

“Ada pelbagai jenis ikan air tawar dalam kolam ini antaranya haruan, keli, puyu dan sepat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Penduduk kampung mengasing ikan haruan bersaiz besar selepas berjaya ditangkap, di Kampung Berangan Pondok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Penduduk kampung mengasing ikan haruan bersaiz besar selepas berjaya ditangkap, di Kampung Berangan Pondok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Seorang penduduk, Mohd Razman Mohd Noor, 44, berkata acara itu boleh dianggap seperti serampang dua mata kerana selain untuk membersihkan kolam ikan terbiar, ia juga dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk.

“Sejak beberapa hari sebelum aktiviti ini berlangsung lagi sudah ramai teruja untuk memeriahkan acara itu dan banyak ikan ditangkap sehingga ada yang mencecah tiga kilogram,” katanya.

Berita Harian X