Ahad, 7 April 2019 | 4:03pm
Chieng Jen (dua dari kiri) pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di Kuching. - NSTP/Melvin Joni

Sarawak rugi jika tolak RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 - Chieng Jen

KUCHING: Sarawak dan Sabah akan kekal sebagai antara 13 negeri di Malaysia jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ahli Parlimen pembangkang tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU), Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Itu peringatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen, yang menegaskan bahawa cadangan pindaan itu bertujuan memulihkan status Sarawak dan Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Stampin dan pengerusi DAP Sarawak menambah, ‘ego besar’ pemimpin dan Ahli Parlimen GPS membantah RUU berkenaan boleh menyebabkan status Sarawak dan Sabah tidak dapat dipulihkan.

“Jika RUU itu ditolak, Sarawak akan kekal sebagai salah satu daripada 13 negeri di Malaysia. Oleh sebab itu, kita tidak boleh terlepas peluang untuk meminda Perlembagaan itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.

Justeru, Chieng Jen merayu kepada Ahli Parlimen GPS untuk menyokong RUU berkenaan yang akan dibacakan buat kali kedua di Parlimen Selasa ini.

Malah, beliau menegaskan Sarawak tidak akan hilang apa-apa jika menyokong RUU berkenaan kerana pindaan yang dicadangkan bertujuan memulihkan status Sarawak dan Sabah.

“Pindaan Perlembagaan ini bukanlah yang terakhir kerana rundingan dan perbincangan berhubung hak-hak lain sedang berjalan.

“Ini adalah permulaan untuk memulihkan struktur dan rangka kerja kesemua 13 negeri di Malaysia kembali ke kedudukan asal dalam Perlembagaan Persekutuan tahun 1963,” katanya.

Berita Harian X