Selasa, 9 April 2019 | 3:37pm
PENGARAH Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun (tiga dari kanan); Pengerusi Eksekutif UFL Sdn Bhd, Datuk Abdul Malek Md Noor, (paling kiri) dan Pengurus Acara dan Tajaan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Muhammad Fauzi Ahmad (empat dari kiri) melepaskan spesies patin di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, untuk pertandingan Ahad ini.

JPKL kembali di Tasik Permaisuri selepas sembilan bulan

KUALA LUMPUR: Selepas hampir sembilan bulan tiada pertandingan memancing diadakan di Taman Tasik Permaisuri, di sini, Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2019, kini kembali menggamit pemancing.

Berikutan itu, JPKL Ahad ini dianggap waktu terbaik untuk kaki pancing menyerbu tasik berkenaan yang memiliki keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk tongsan, rhu dan toman bersaiz lapan hingga 15 kilogram (kg) menanti.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Nazam Harun, berkata kira-kira 1,000 kaki pancing dijangka menyertai pertandingan itu.

Katanya, pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM20,000 itu adalah siri keempat anjuran DBKL untuk tahun kelapan.

Aktiviti sihat bertemakan 'Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera', katanya, sentiasa dinantikan pemancing sambil beriadah bersama keluarga.

“Juara pertandingan akan membawa pulang RM6,000, diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga, bakal memperoleh RM1,000.

"Pemenang tempat keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, tempat ke-11 hingga 80 menerima RM100 seorang, begitu juga tempat ke-81 hingga ke-100 menerima RM50 seorang.

“Tahun ini, DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang ikan keli yang mana juara menerima RM300, kedua RM200, ketiga hingga ketujuh, RM100 dan tempat kelapan hingga ke-10, RM50," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu, hari ini, antaranya patin bersaiz antara empat hingga lima kg seekor.

Oyoshi (Perasa Sakura), Igloo-UFL dan Pure Fishing Malaysia Sdn Bhd turut memeriahkan acara ini sebagai rakan strategik bersama.

Yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima dua botol air sumbangan penaja.

Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini, bermula jam 1 tengah hari hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Maklumat lanjut, layari laman facebook, JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 atau 012-2846811.

Keterangan gambar:

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun (tiga dari kanan); Pengerusi Eksekutif UFL Sdn Bhd, Datuk Abdul Malek Md Noor, (paling kiri) dan Pengurus Acara dan Tajaan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Muhammad Fauzi Ahmad (empat dari kiri) melepaskan spesies patin di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, untuk pertandingan Ahad ini.

Berita Harian X