Selasa, 9 April 2019 | 4:48pm
MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (kanan) melancarkan Kuching Waterfront Jazz Festival 2019, di Grand Margherita Hotel Kuching. - NSTP/Hazreen Mohamad

Sarawak tumpuan peminat muzik dunia

KUCHING : Penganjuran festival muzik antarabangsa kini meletakkan Sarawak dalam peta pelancongan hiburan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, sejak Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) diperkenalkan, Sarawak mula dikenali penggemar muzik dari segenap pelusuk dunia.

Beliau berkata, kejayaan RWMF mendorong festival muzik lain antaranya Festival Jazz Borneo dan Festival Muzik Country dianjurkan di Miri.

“Selepas itu, kita anjurkan pula Kuching Waterfront Jazz Festival (KWJF) mulai 2017 dan ternyata ramai penggemar irama muzik itu berkunjung ke Kuching.

“Kejayaan penganjuran KWJF mendorong kita untuk sekali lagi menganjurkannya pada September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media KWJF di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee.

Abdul Karim berkata, pada setiap penganjuran festival muzik itu, jumlah kehadiran pelancong asing ke Sarawak meningkat mendadak.

“Pada penganjuran KWJF sebelum ini misalnya lebih separuh daripada penonton yang hadir adalah pelancong asing.

“Sekarang ramai pelancong asing meletakkan festival muzik di Sarawak dalam kalendar percutian mereka dan inilah yang kita akan terus perkasakan bagi memantapkan lagi industri pelancongan Sarawak,” katanya.

KWJF 2019 akan berlangsung di Tebingan Kuching pada 27 dan 28 September ini.

Antara yang akan membuat persembahan ialah kumpulan pemuzik jazz terkemuka Australia, Davewer and the DooDaddies dan penyanyi terkemuka negara, Ning Baizura.

Berita Harian X