Rabu, 10 April 2019 | 4:19pm
Pensyarah Kanan Program Sains Marin UMT, Prof Madya Dr Ong Meng Chuan. - Ihsan UMT

Perlu kajian menyeluruh kenal pasti pencemaran makanan laut bercangkerang

KUALA TERENGGANU: Kajian secara menyeluruh membabitkan pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran diiktiraf perlu dilakukan bagi menentukan tahap pencemaran dalam makanan laut bercangkerang, terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung.

Pensyarah Kanan Program Sains Marin UMT, Prof Madya Dr Ong Meng Chuan, berkata pencemaran logam berat akan berlaku disebabkan aktiviti manusia kerana jika tidak dikawal dengan baik ia mampu menyumbang memberi kesan kepada persekitaran marin serta spesies kerang kerangan.

“Organisma spesies kerang hanya mendiami habitat sama dan tidak akan berpindah seperti haiwan lain seperti ikan,” katanya mengulas penularan isu makanan laut bercengkerang di Selat Melaka yang didakwa dicemari logam berat seperti dimuatnaik melalui media sosial sejak Isnin lalu.

Sementara itu, katanya, kajian dilakukan penyelidik UMT mendapati kepekatan logam berat dalam organisma kerang-kerangan di Sungai Muar, Johor berada pada paras kandungan dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan Malaysia 1985.

Katanya, penyelidik UMT hanya melakukan kajian kepekatan logam berat yang terdapat dalam organisma kerang-kerangan membabitkan empat spesies hidupan laut, iaitu tiram, kepah, lokan dan kerang di Sungai Muar.

“Dapatan kajian sampel mendapati semua spesies itu masih selamat untuk dimakan dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada manusia.

“Penyelidik UMT tidak mengambil sampel kerang-kerangan sebaliknya hanya melakukan kajian berdasarkan sampel sedimen, air laut, plankton, hibentos dan mikro plastik di perairan Selat Melaka,” katanya.

Berita Harian X