Rabu, 10 April 2019 | 7:22pm

Bas RapidKL tanpa tunai mulai 15 April

KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan melaksanakan sistem pembayaran elektronik sepenuhnya di semua laluan bas RapidKL dengan permulaan pelaksanaannya di koridor Ampang, bermula 15 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij, berkata koridor Ampang membabitkan empat laluan iaitu 300, 302, 303, BET7, T300, T301, T302, T303, T304, T350 dan T351.

Beliau berkata, laluan bagi Cheras, Sungai Besi dan Jalan Klang Lama akan dilaksanakan sistem tanpa tunai sepenuhnya pada 29 April, manakala laluan Damansara, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang pada 13 Mei depan.

“Bagi lapan laluan yang dibina pada tahun ini, untuk menaik taraf perkhidmatan bas di Lembah Klang dan Selangor - Lebuh Raya Persekutuan akan dilaksanakan pada 27 Mei, sekali gus menjadikan keseluruhan sistem tanpa tunai.

“Kami menyeru semua penumpang yang menggunakan wang tunai supaya segera membeli kad tanpa tunai untuk memudahkan perjalanan mereka, malah lebih baik menggunakannya lebih awal bagi membolehkan peluang mendapat diskaun 20 peratus dari tambang biasa berbanding pembayaran secara tunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Yazurin berkata, bagi penumpang tempatan, pembelian kad tanpa tunai My50 dan My100 turut membolehkan akses kepada monorel, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan bas perantaraan MRT serta Bas Rapid Transit (BRT).

Beliau berkata, semua pengguna yang belum mempunyai kad tanpa tunai, boleh membeli di semua stesen sedia ada bermula dengan kadar RM15 dengan RM5 harga bagi kad.

“Bagi kad tanpa tunai My50 dan My100, pengguna perlu menggunakan kad ketika menaiki dan turun bas.

“Pengguna perlu memastikan baki kredit paling minimum RM3 sebelum menaiki bas,” katanya.

Pengguna masih dibenarkan menggunakan transaksi pembayaran tunai sepanjang tempoh permohonan kad konsesi.

Pengguna kad konsesi menikmati diskaun 50 peratus daripada harga tambang asal.

“Kad konsesi boleh dimohon menerusi http://www.myrapid.com.my atau kaunter pendaftaran di hab bas Pasar Seni,” katanya dengan menambah kemudahan tambah nilai turut disediakan di semua stesen LRT, MRT, monorel dan BRT.

Berita Harian X