Rabu, 10 April 2019 | 8:16pm
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - NSTP/Abdullah Yusof
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - NSTP/Abdullah Yusof

Perak arah kegiatan balak di Sungai Rui, hulu daerah Hulu Perak beku, henti serta-merta

IPOH: Perak mengarahkan semua kegiatan pembalakan di sepanjang Sungai Rui di Gerik dan kawasan hulu di daerah Hulu Perak dihenti dan dibekukan serta merta susulan isu pencemaran arsenik yang dikesan di sungai itu.

Arahan turut dikeluarkan supaya syarat bagi operasi perlombongan diketatkan sehingga laporan konklusif kajian berkaitan pencemaran sungai berkenaan diperoleh.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata walaupun tahap pencemaran Sungai Rui adalah rendah dan tidak mengancam keselamatan orang ramai berdasarkan standard piawaian yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), kerajaan negeri tetap mengambil serius terhadap penemuan berkenaan.

“Tindakan kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas sebaik sahaja mendapat taklimat daripada agensi berkaitan mengenai pencemaran Sungai Rui, jelas membuktikan komitmen tidak berbelah-bahagi kerajaan negeri dalam melindungi alam sekitar dan rakyat negeri Perak.

“Kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak untuk menghentikan mana-mana aktiviti ekonomi yang menyumbang secara terus kepada pencemaran alam sekitar di Perak, khususnya di sepanjang Sungai Rui, bagaimanapun ia perlu dilakukan dengan cermat dan penuh tanggungjawab supaya tidak menimbulkan keresahan dan keadaan panik di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pencemaran sungai berkenaan selepas melancarkan Kad Perak Prihatin di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri mengesan unsur pencemaran arsenik di Sungai Rui, Gerik, dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari dilaporkan berkata, berdasarkan hasil ujian sampel terhadap Sungai Rui, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menemui bahan logam berat dipercayai mengandungi arsenik.

Ahmad Faizal berkata, buat masa ini Jabatan Kesihatan negeri merumuskan hasil kajian termasuk pemerhatian dan pemeriksaan fizikal ke atas penduduk adalah masih awal dan belum lagi dapat dikaitkan dengan pendedahan terhadap arsenik, bagaimanapun jabatan akan terus memantau tahap kesihatan penduduk khususnya Kampung Air Ganda yang terletak berhampiran Sungai Rui.

Katanya, hasil ujian contoh air yang dijalankan ke atas sampel air di Loji Air Ganda yang terkini menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan di bawah piawaian yang ditetapkan WHO iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter, dan ia bermakna air terawat yang dibekalkan oleh Lembaga Air Perak (LAP) kepada penduduk di situ adalah selamat untuk digunakan.

Dalam pada itu, mengenai syarat ketat yang perlu dipatuhi pelombong dan pengusaha kilang pemprosesan mineral, Ahmad Faizal berkata, kegagalan pihak berkenaan memenuhi syarat ditetapkan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Peraturan-peraturan di bawahnya akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata, ia termasuk dikenakan tindakan diberikan surat tunjuk sebab, notis berhenti operasi sementara, perintah berhenti operasi, Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) ditarik balik atau dibatalkan dan berdepan tindakan mahkamah.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mendapatkan laporan konklusif daripada Institut Kajian Perubatan Malaysia (IMR) sebelum memutuskan tindakan seterusnya dan tidak mahu membuat sebarang kenyataan yang tidak berlandaskan kepada fakta yang tepat dan sekali gus menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Pemantauan dan penguatkuasaan oleh semua agensi terbabit akan dipertingkatkan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan rakyat Perak. Kami sangat menghargai komitmen jitu ditunjukkan oleh semua jabatan dan agensi negeri dan Persekutuan dalam menangani isu pencemaran ini.

“Kajian lanjut akan diteruskan bagi mengekang impak negatif semua aktiviti ekonomi dan aktiviti manusia terhadap alam sekitar, malah kita perlu belajar daripada kesan aktiviti manusia selama 100 tahun yang lalu dan mengambil langkah perlu sekarang untuk membetulkan keadaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X