Ahad, 14 April 2019 | 6:11pm
PENGERUSI Persatuan Kami Anak FELDA (KAF) Bukit Goh, Datuk Mohd Bakri Abdul Majid. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
PENGERUSI Persatuan Kami Anak FELDA (KAF) Bukit Goh, Datuk Mohd Bakri Abdul Majid. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Penduduk harap perlombongan bauksit diteruskan segera

KUANTAN: Rata-rata penduduk di sini, terutama FELDA Bukit Goh yang terbabit dengan perlombongan bauksit, berharap aktiviti itu dapat diteruskan semula secepat mungkin.

Pengerusi Persatuan Kami Anak FELDA (KAF) Bukit Goh, Datuk Mohd Bakri Abdul Majid, berkata aktiviti melombong sumber asli itu bukan saja akan menjana ekonomi negeri tetapi juga memanfaatkan penduduk setempat.

“Di sini memang terkenal dengan perlombongan bauksit. Sebagai generasi kedua FELDA, saya rasa ramai mahu tahu sama ada aktiviti perlombongan ini diteruskan atau tidak.

“Saya meminta supaya keputusan dibuat akan menggembirakan semua peneroka FELDA memandangkan ramai peneroka sudah hilang sumber pendapatan hampir tiga tahun selepas dihentikan sementara,” katanya.

Mohd Bakri antara kira-kira 500 orang hadir pada sesi Pendengaran Awam Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, akibat pemberhentian perlombongan itu, peneroka FELDA Bukit Goh mengalami penderitaan yang didakwa tidak mendapat pembelaan dan perhatian daripada mana-mana pihak.

“Jika ada 100 muka surat SOP sekali pun, penduduk mahu tahu tarikh sebenar kelulusan bauksit jika surat kelulusan pada 2017 diperbaharui.

“Mana-mana kawasan yang ditentukan dalam persetujuan itu, kita meminta supaya perjanjian dulu dikaji semula atau dihapuskan dan wujudkan satu perjanjian baharu,” katanya ketika bangun menyuarakan pendapat dan persoalan.

Mohd Bakri berkata, kemungkinan besar peneroka dan pemilik tanah di kawasan perlombongan itu ditipu sebelum ini, dan meminta agar pihak atasan turun padang untuk melihat sendiri keadaan dihadapi peneroka.

“Saya sangat kecewa jika aktiviti perlombongan ini tidak diteruskan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pesara FELDA Bukit Goh, Nik Abdul Majid Nik Sin, 75, mahu nasib 220 peneroka di kawasan berkenaan terbela dengan meneruskan perlombongan terbabit.

“Ada 70 peneroka terjejas selepas pokok mereka ditebang menyebabkan sumber pendapatan hilang sehingga mengharapkan bantuan daripada anak.

“Jika perlombongan bauksit tidak diteruskan, kami akan mengalami masalah untuk menanam semula pokok kerana perjanjian dengan kontraktor belum selesai,” katanya.

Beliau mendakwa, kira-kira 120 peneroka sudah menandatangani perjanjian dan menerima lebih RM100,000 seorang daripada perjanjian itu.

“Saya merayu agar perlombongan bauksit ini diteruskan. Saya hairan kenapa masih belum dapat diteruskan walaupun selepas dua kali berganti kerajaan.

“Hanya 30 peneroka mendapat keuntungan antara RM800,000 hingga RM2 juta seorang, tetapi selebihnya masih belum menentu. Ada yang sudah menerima RM30,000 sebagai bayaran pendahuluan tiga tahun lalu, namun belum menerima apa-apa bayaran selepas itu hingga kini,” katanya.

Berita Harian X